|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Sunday, October 30, 2005
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 30 OKTOBER 2005) Mawi sedia RM 15 000 rai peminat
SESUNGGUHNYA kehadiran Syawal kali ini sungguh bermakna buat anak muda kelahiran Felda Taib Andak ini. Buat julung kalinya, Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini akan menyambut kemeriahan Aidilfitri sebagai artis. Lebih istimewa, Asmawi Ani atau lebih mesra dengan panggilan Mawi akan meraikan kehangatan lebaran bersama peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini dengan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga di padang bola kampung halamannya. “Syukur alhamdullilah,” itulah perkataan keramat yang berulang kali lahir daripada bibir anak muda ini saat mengulas lanjut sambutan Aidilfitri. Tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini akan meraikan hari kemenangan umat Islam ini bersama ratusan atau mungkin ribuan peminat. “Ia bagaikan mimpi. Mungkin inilah yang dikatakan tuah, syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang dan mereka yang menyokong saya selama ini,” katanya memulakan bicara. Sambungnya sambil tersenyum manis: “Rasanya semua sedia maklum, saya akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga. Majlis itu akan berlangsung di padang bola Felda Taib Andak. “Beberapa balai turut dibina bagi memudahkan orang ramai menikmati juadah. Semuanya akan diuruskan oleh orang kampung saya, termasuk soal logistik, makanan dan kawalan keselamatan. “Peruntukan bagi mengadakan majlis itu ialah RM15,000 dan saya sudah menyediakannya. “Kemungkinan besar saya dan rakan AF yang hadir akan mengadakan persembahan bagi memeriahkan suasana malah pentas turut didirikan bagi tujuan itu. “Meskipun mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga, pengalaman banyak mengajar saya supaya bersiap sedia untuk menerima kehadiran tetamu pada hari raya pertama. “Memandangkan rumah saya tidak dapat menampung tetamu yang ramai, saya memasang sebuah balai di depan rumah. Juadah kali ini pun kena lebih berbanding tahun lalu,” katanya yang turut menjemput artis senior ke majlis itu. Bercerita mengenai persiapan raya kali ini, Mawi tanpa berselindung memberitahu, dia menyerahkan RM4,000 kepada keluarganya untuk membeli apa yang dirasakan patut, termasuk langsir, kuih-muih dan juadah istimewa yang bakal dihidangkan kepada tetamu. “Kali ini saya belikan tiga pasang baju kurung dan tudung untuk mak serta tiga pasang baju Melayu buat abah. Saya turut menghadiahkan baju raya kepada adik beradik saya dan keluarga tunang saya, Diana. “Memandangkan jadual sepanjang bulan ini padat, terpaksa saya melakukan persiapan lebih awal. Sebahagiannya saya beli sebelum puasa dan ada juga selepas beberapa hari berpuasa. Bimbang juga kalau dilengah-lengahkan tidak sempat pula,” katanya sambil tertawa. Tambah Mawi, dia tak perlu berhabis membeli baju raya tahun ini kerana pemberian peminat lebih daripada cukup. “Tahun ini saya ada 20 pasang baju Melayu. Semuanya hadiah daripada peminat. Ada yang bagi baju Melayu Teluk Belanga dan Cekak Musang lengkap dengan kain samping dan songkok. Ada juga yang belum berjahit. Macam-macam warna, sampai rambang mata saya untuk memilih yang mana paling sesuai digayakan pada pagi raya. Biarpun saya gemar warna hitam, warna cerah akan jadi pilihan kerana ia lebih bersesuaian dengan keceriaan hari raya. “Lebih istimewa, peminat tidak lupa menghadiahkan baju kepada mak, abah dan adik-beradik saya yang lain. Bergaya sakanlah kami Aidilfitri kali ini,” katanya sambil berulang kali melahirkan ucapan terima kasih kepada peminat yang bermurah hati menghadiahkan keluarganya persalinan raya. Wednesday, October 26, 2005
Maaf Mawi sibuk! Credit to: HM - 26/10/2005
Oleh Rudy Imran Shamsudin dan Norhadiani Baharom am@hmetro.com.my Banyak perkara dirancang terpaksa ditunda, dibatalkan OLEH kerana sibuk memenuhi undangan dan aktiviti seni, banyak perkara yang dirancang membabitkan kerjaya seni bintang Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3), Asmawi Ani, 24 atau Mawi terpaksa ditunda atau dibatalkan. Sebagai contoh album sulungnya, Yang Tercinta dijadualkan memasuki pasaran pada akhir bulan ini terpaksa ditunda kerana penerbitnya, M Nasir tidak berpuas hati dengan mutu tiga lagi lagu yang sudah dirakamkan sebelum ini. Perkara itu berlaku kerana kebanyakan proses rakaman dihasilkan dalam keadaan tergesa-gesa memandangkan sepanjang Ramadan ini Mawi terikat dengan pelbagai aktiviti yang sudah diatur lebih awal. Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Bakat Maestro, Freddie Fernandez, berkata dengan pelbagai komitmen padat dilakukan Mawi sepanjang Ramadan ternyata memberi kesan pada mutu suaranya kebelakangan ini. “Untuk album sulung pertama, Mawi sebenarnya perlu menjalani rakaman untuk tiga lagi lagu iaitu Jiwa, Cinta dan Ke Pintumu. Berikutan masalah suara dihadapinya, ketiga-tiga lagu ciptaan M Nasir itu terpaksa dirakamkan berulang kali. “Sementara rakaman baki lagu ciptaan Adnan Abu Hassan, Ajai dan Catt Ruffedge sudah selesai,” katanya. Untuk memastikan kesihatan Mawi terjamin, pihak Maestro sebelum ini pernah menolak tawaran Tayangan Unggul yang mahu menggandingkan Mawi bersama Ning Baizura untuk filem muzikal Diva. Tawaran menarik itu terpaksa ditolak dengan alasan jika Mawi berlakon dia perlu memberikan tumpuan penuh seperti menjalani latihan selama berbulan-bulan dan sayangnya dia tidak punya banyak masa. Selain Mawi turut disenaraikan membintangi filem itu adalah Ari Wibowo. Sementara itu berkaitan penubuhan Radio Felda, menurut Mawi hal itu sudah pun diutarakan kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Noor. “Apa yang saya difahamkan pihak Felda merancang bukan menubuhkan siaran radio sebaliknya rancangan televisyen. Ia jelas paparan visual lebih berkesan berbanding mendengar suara saja. “Pihak Maestro sendiri tidak keberatan memberi peluang kepada saya membabitkan diri dalam program itu. “Mungkin saya akan diberikan satu jam muncul dalam rancangan diterbitkan bagi warga Felda. Saya berbesar hati dan tidak keberatan menjayakan rancangan bakal diterbitkan,” tegasnya. Dalam perkembangan lain sebagai Duta Eon, Mawi diberikan kereta Proton Savvy dengan nombor plat MAW1100 bagi memudahkan dia melaksanakan tugas sebagai duta kepada syarikat pengeluar dan pengedar kereta tempatan itu. Namun, jelas Pengurus Besar Perniagaan Proton, Datuk Abdul Razak Dawood, pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum (MoU) bersama bintang itu dan syarikat pengurusannya Maestro Talent, kereta itu hanya boleh digunakan Mawi dalam tempoh kontraknya selama setahun menjadi duta Eon. “Kita belum lagi memutuskan untuk menyerahkan terus kereta Savvy itu kepadanya. Kita lihat dulu perkembangannya sepanjang tempoh kontrak. Tidak mustahil selepas ini kereta Savvy itu menjadi milik Mawi sepenuhnya,” katanya. Sebelah petang sebelum acara bermula, Mawi turut menghadiri majlis menandatangani dan memorandum sempena pelantikannya selaku duta jenama telefon bimbit terulung keluaran Malaysia, M.Mobile di Hotel Hilton, Sentral, Kuala Lumpur. Dia yang mengikat kontrak selama setahun akan terbabit dengan pelbagai aktiviti promosi dan penggambaran iklan komersil awal tahun depan. Sebagai persiapan menggalas tanggungjawab sebagai duta serta jurucakap produk yang memerlukan keyakinan dan pengetahuan, Mawi berusaha memantapkan komunikasi dan penampilannya. “Setiap hari saya belajar perkara baru dalam hidup. Melalui pengalaman ini sedikit sebanyak mematangkan saya. Pun begitu tak dinafikan terlalu banyak kelemahan khususnya dari segi komunikasi. “Saya harap dapat mempertingkatkannya dalam tempoh terdekat ini agar mampu meyakinkan orang ramai mengenai kewibawaan pelantikan saya sebagai duta. “Jika keadaan memaksa, saya tidak keberatan melantik seorang perunding imej yang boleh membentuk penampilan dan komunikasi. Kesempatan ini, ingin saya ucapkan terima kasih kepada pihak M.Mobile kerana memilih saya sebagai duta produk mereka,” katanya. Sementara Ketua Pegawai Operasi M.Mobile, Zainudin Mohd Salleh, berkata pemilihan Mawi cukup bertepatan pada saatnya apabila telefon bimbit ini akan dilancarkan dalam masa sebulan dari sekarang. “Banyak nama artis popular yang kami senaraikan, namun nampaknya fenomena Mawi mengatasi segala. Sebagai pengeluar telefon bimbit pertama Malaysia yang berusaha memperkenal produk sulung kami, memang tak dinafikan kami memerlukan seorang ikon yang boleh membantu mengangkat produk ini. “Bersesuaian produk tempatan, kehadiran artis tanah air seperti Mawi dapat menarik masyarakat Malaysia untuk menghargai barangan buatan negara,” katanya. MAWIIOO hadiah peminat untuk Mawi Credit to: UM - 26/10/2005 Oleh: ABD. AZIZ ITAR MAWI dan Nor Huzrina Hussein di samping kereta Proton Savvy MAWIIOO selepas Majlis Menandatangi Perjanjian Bersama EON/Mawi di Shah Alam, Selangor malam kelmarin. -------------------------------------------------------------------------------- SEJAK muncul juara Akademi Fantasia 3 (AF3) pada 6 Ogos lalu, rezeki Mawi dalam bidang nyanyian datang mencurah-curah. Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini semakin banyak menerima undangan menyanyi, dilantik sebagai duta pelbagai produk dan juga hadiah-hadiah sumbangan daripada para peminatnya. Terbaru seorang peminat fanatik iaitu Nor Huzrina Hussein, 30, telah menghadiahkan nombor plat pendaftaran keretanya MAW1100 kepada Mawi. Nombor plat itu telah pun didaftarkan pada kereta Proton Savvy berwarna hitam yang akan digunakan oleh Mawi selepas dia dilantik sebagai duta Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON Berhad) di Shah Alam, Selangor malam kelmarin. Menurut Nor Huzrina, dia menghadiahkan plat keretanya itu (yang kelihatan ejaannya seperti MAWI IOO) kerana terlalu meminati penyanyi yang berusia 24 tahun itu. "Sebenarnya, nombor plat itu saya gunakan pada kereta Proton Wira saya sejak dua tahun lalu yang didaftarkan di Melaka. "Saya memang bercadang mahu menghadiahkan Mawi nombor plat kereta saya itu kepadanya selepas dia jadi juara AF3. "Kebetulan saya pula amat meminati Mawi dan merasakan dia adalah orang yang paling layak menggunakan nombor plat itu. "Ini kerana, nombor 100 pada plat itu juga kebetulan nombor yang digunakan oleh Mawi sewaktu dia menyertai uji bakat AF3," katanya sewaktu ditemui sejurus selepas Mawi dilantik sebagai duta EON Berhad. Sementara itu, Mawi atau Asmawi Ani yang ditemui pada majlis itu merasa terkejut dan terharu dengan pemberian istimewa daripada peminat setianya itu. "Saya pun tak tahu nak kata apa. Terima kasihlah. Selama ini ramai peminat yang kasi saya macam-macam hadiah tapi yang ini agak special sikit,'' komennya ringkas. Ternyata populariti mendadak yang diraih oleh Mawi menyebabkan dia menjadi pilihan banyak syarikat yang mahu menjadikannya sebagai duta produk. Dalam tempoh tidak sampai dua minggu ini, Mawi sudahpun dilantik menjadi duta bagi tiga produk yang berbeza iaitu telefon bimbit M.Mobile, video dan kamera digital Canon dan terbaru, EON Berhad. Pengarah Urusan EON Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir berkata, pelantikan Mawi sebagai duta EON Berhad itu diharap dapat membantu menyalurkan mesej-mesej berguna kepada para pelanggannya. "Penampilan Mawi yang positif menyebabkannya menjadi ikon kepada golongan muda dalam dunia hiburan tempatan. "EON akan menggunakan khidmat dan populariti Mawi itu supaya dapat memberi kesedaran kepada para pelanggan kami, berhati-hati di jalan raya. "Mawi akan membantu EON menjalankan kempen keselamatan jalan raya sempena musim cuti perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri ini,'' katanya pada majlis tersebut. Sebagai duta, kata Syed Hisham, kereta Proton Savvy itu adalah untuk kegunaan Mawi bagi tempoh setahun. "Mawi akan menggunakan kereta itu bagi memudahkan aktiviti-aktiviti seninya selain mempromosikan produk-produk kami. "Mawi akan terbabit dalam aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan oleh EON Berhad sepanjang setahun kontraknya bersama kami," ujar Syed Hisham. Selepas pelantikan Mawi itu, satu Kempen Keselamatan Jalan Raya turut dilancarkan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Suriet Singh. Selain duta, Mawi juga akan muncul menerusi iklan EON Berhad dengan menyampaikan lagu Hari Raya yang akan mula disiarkan di televisyen dan radio tempatan mulai hari ini (26 Oktober). Pada majlis itu, EON Berhad turut meraikan kira-kira 100 anak-anak yatim dari Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Rumah Silaturrahim Nurul Qanaah, Asrama Baitul Ummah dan Anak-Anak Yatim Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada satu majlis berbuka puasa. Selain itu, EON Berhad turut menyumbangkan cek bernilai RM10,000 bagi mengisi Tabung Thasaleemia Malaysia. Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi EON Berhad, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Saleh Sulong. Pada sebelah petang hari yang sama, Mawi turut dilantik menjadi duta telefon bimbit M.Mobile selain pelantikkannya sebagai duta video dan kamera digital Canon pada minggu lalu. Mawi jayakan Konsert Semurni Aidilfitri di Terengganu 7 November Credit to: UM - 26/10/2005
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD KUALA TERENGGANU 25 Okt. - Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi akan menjayakan Konsert Semurni Aidilfitri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, pada 7 November ini. Konsert yang pertama kali membabitkan Mawi di Terengganu itu dianjurkan oleh Cosmopoint Sdn. Bhd., Dynamic Network dan Kelab Remaja Islam Malaysia (KRIM). Sebahagian kutipan dari jualan tiket konsert itu akan disumbangkan bagi membantu ibu tunggal miskin di negeri ini. Pengarah konsert tersebut, Ahmad Shukri Mansor berkata, sebagai penyanyi berkeperibadian tinggi, persembahan Mawi buat pertama kali di Terengganu amat dinanti-nantikan oleh peminatnya. ``Konsep konsert yang bakal kita diadakan ini berbentuk kekeluargaan dan ia selaras dengan sambutan Aidilfitri. Penonton lelaki dan perempuan akan diasingkan kecuali mereka yang telah berkeluarga. ``Langkah itu penting kerana kita mahu objektif konsert ini tercapai sepenuhnya. Kita tidak mahu nama konsert iaitu semurni Aidilfitri dicemari dan melanggar syariat dan adat ketimuran,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Ahmad Shukri berkata, penonton yang akan menyaksikan konsert itu digalakkan berpakaian kemas atau pakaian menggambarkan suasana Aidilfitri. ``Selain Mawi, antara artis lain yang akan terlibat dalam konsert itu ialah Nash, Amar (artis nasyid solo), kumpulan nasyid Haikal dan kumpulan nasyid Saujana. ``Pada malam itu, Mawi akan membawa tujuh buah lagu. Kita akan memastikan pertunjukan malam itu menggunakan sistem bunyi canggih supaya penonton dapat mendengar setiap lagu yang disampaikan dengan jelas,'' katanya. Mengenai tiket, Ahmad Shukri berkata, mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert itu dikehendaki membeli sekotak kopi `Al-Habbatus Sauda' berharga RM20 dan akan dijual mulai 27 Oktober sehingga 7 November. Menurut beliau, dengan pembelian sekotak kopi itu, penonton mendapat sekeping pas masuk untuk seorang dewasa atau dua keping bagi kanak-kanak berusia antara tiga sehingga 12 tahun. Kopi ini akan mula dijual di beberapa lokasi iaitu di kampus Cosmopoint Kuala Terengganu (sebelah bank RHB) mulai 27-31 Oktober, pusat membeli belah Sabasun dan Koperasi Bekas Polis Terengganu di bangunan Arked Mara di sini pada 1 sehingga 6 November. ``Pada hari konsert, orang ramai boleh membeli kopi itu di pintu masuk utama stadium untuk mendapatkan pas masuk dan mereka dinasihatkan supaya mendapatkan pas masuk lebih awal. ``Kepada mereka yang membeli kopi di kampus Cosmopoint mulai 27 sehingga 31 Oktober akan diberikan potongan RM3,'' katanya. Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai konsert tersebut boleh menghubungi Ahmad Shukri di talian 013-9566566 atau 012- 2224499 (Zaizi). Monday, October 24, 2005
Edisi Nasional: Mawi jual kuih raya Credit to: HM - 24/10/2005 Oleh Norazura Wahid am@hmetro.com.my JOHOR BAHRU: Pengunjung bazar Ramadan di Plaza Angsana, di sini, yang sibuk berbelanja untuk persiapan Aidilfitri, terkejut dengan kemunculan penyanyi popular, Asmawi Ani atau lebih dikenali Mawi di gerai milik keluarganya di bazar itu, kelmarin. Perniagaan yang diusahakan keluarga Mawi tidak menang tangan menerima kunjungan peminat yang tidak mahu ketinggalan mendapatkan kuih istimewa yang dijual di bazar Ramadan di pasar raya itu. Menurut kakaknya, Rashidah Ani, 34, kehadiran Mawi untuk menghargai peminat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya termasuklah gerai yang dibuka sejak awal Ramadan lalu. “Kami sekeluarga turut terkejut dengan kehadiran Mawi yang tidak dirancang kerana dia ingin melihat sendiri kesetiaan serta sokongan peminat terhadap gerai milik keluarganya itu yang tidak pernah lengang dengan pengunjung,” katanya. Dalam pertemuan singkat kira-kira 45 minit itu, Mawi sempat meluangkan masa beramah mesra bersama peminat sebagai tanda terima kasih di atas sokongan yang diberikan kepada gerai milik keluarganya itu. Sementara itu, Rashidah berkata, pelbagai kuih dijual di gerai berkenaan termasuk kuih raya kegemaran Mawi yang dihasilkan dari kampung kelahiran penyanyi berkenaan. Gerai itu menawarkan pelbagai jenis kuih termasuk Suji Aduh Saliha, Coklat Gajus Mawi, Biskut Badam Mawi dan pelbagai lagi dengan harga berpatutan, selain kad raya Mawi yang habis dijual pada hari itu. “Sejak gerai ini dibuka, kami tidak menang tangan melayan permintaan peminat dan mereka tidak ketinggalan mendapatkan kad raya Mawi yang dikeluarkan secara terhad,” katanya. Rashidah berkata, ada pelanggannya rakyat negara jiran membeli secara borong untuk persiapan hari raya ini. Menurut seorang pembeli, Melissa Masor, 28, sebelum ini dia tidak menyangka gerai yang penuh dengan poster dan menggunakan nama penyanyi berkenaan itu adalah milik Mawi kerana banyak peniaga menggunakan taktik berkenaan untuk melariskan jualan. “Saya terharu kerana Mawi sendiri turun padang untuk menghargai peminatnya,” katanya yang apabila melihat Mawi melayan peminat di gerai berkenaan. Aduh Saliha masuk Muzik-Muzik 20 Credit to: BH - 24/10/2005
Oleh Zul Husni Abdul Hamid Aduh Saliha nyanyian juara bintang Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi adalah antara 30 lagu daripada tiga kategori yang layak menyertai Muzik Muzik 20 Separuh Akhir, November ini LAGU sentuhan komposer tersohor, M Nasir yang dinyanyikan Mawi pada konsert kemuncak AF3 itu mengiringi sembilan lagu lain untuk bertanding dalam kategori Etnik Kreatif dan Irama Malaysia. Mawi apabila ditanya mengenai pencalonan Aduh Saliha berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang pantas memandangkan lagu berkenaan baru saja beberapa minggu tersenarai dalam carta Muzik Muzik 20. “Memang terlalu awal tetapi ini yang dikatakan rezeki. Baru beberapa minggu, Aduh Saliha sudah layak ke Separuh Akhir sedangkan lagu lain yang sudah lama gagal mara. Saya sangat bersyukur. “Namun, saya tidak berani meletak harapan tinggi. Saya hanya berserah di samping mempertingkatkan mutu vokal dan persembahan untuk tidak menghampakan kepercayaan yang diberikan ini,” katanya. Melihat kepada senarai pencalonan Muzik Muzik 20 Separuh Akhir, komposer prolifik, Adnan Abu Hassan mendahului apabila empat lagu sentuhannya terpilih, disusuli M Nasir dan komposer muda, Cat Farish dengan tiga lagu. Tiga daripada lagu ciptaan Adnan bertanding dalam kategori Balada, dua daripadanya dinyanyikan bintang Akademi Fantasia iaitu Tangisan Dalam Kerinduan (nyanyian Farah) dan Memori Bahagia (Sahri). Turut terpilih ialah lagu nyanyian Aishah, Tiada Lagi Tangisan selain Nurul Ain nyanyian penyanyi baru, Rayna Hairina yang bertanding dalam kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif. Sementara itu, Cat Farish daripada Ruffedge pula menyandarkan harapan kepada dua lagu yang dipertandingkan dalam kategori Pop Rock iaitu Dayang Sayang Kamu (Dayang Nurfaizah) dan Milikku (Zahid). Sebuah lagi ciptaan Cat iaitu Goyang Habibi nyanyian Ruffedge bertanding bagi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif. “Saya menghasilkan lagu untuk Dayang Nurfaizah dan Zahid pada masa yang hampir sama. Tidak sangka kedua-dua lagu itu diterima baik. Ini yang dikatakan rezeki dan syukur sentuhan saya diiktiraf. “Sebagai komposer baru, saya melihat pencalonan ini sebagai tiket untuk meneruskan perjuangan dalam arena penciptaan lagu,” kata Cat. Bagi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif, Noraniza Idris masih mempertahankan keunggulan apabila kembali bertanding dalam siri program berprestij yang memasuki edisi ke-20. Untuk tahun ini, dia mengharapkan tuah sentuhannya, Ayuh Juragan. Selain Noraniza, Waheeda juga kembali menerusi sentuhan Trabye, Binafsha manakala Syazliana mengharapkan tuah kepada sentuhan Pak Ngah iaitu Gurindam Sang Puteri. Pak Ngah juga mempertaruhkan sebuah lagi lagu nyanyian Zehra Zambri, Semalakama. Berbanding Irama Malaysia & Etnik Kreatif, kategori Balada menyaksikan persaingan sengit apabila nama besar dalam industri hiburan menghadapi tentangan daripada penyanyi bakat baru. Kategori ini memperlihatkan kehadiran semula Misha Omar, Aishah dan Ning Baizura yang akan bersaing dengan penyanyi baru seperti Farah, Jaclyn Victor, Sharifah Zarina, Azharina dan Sahri. Dari segi pencalonan, Adnan mengungguli kategori ini dengan tiga lagu, disusuli adiknya, Azlan Abu Hassan yang mempertaruhkan dua lagu, Dedebu Cinta (Misha Omar) dan Elegi Sepi (Azharina). Saingan mereka tentu sekali daripada Langit Ke-7 ciptaan Master G nyanyian Sharifah Zarina dan Awan Yang Terpilu (Lin Li Zhen/Ning Baizura) yang terlebih dulu dinobatkan sebagai Lagu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) 12. Kehebatan vokal bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor juga membantu memberi laluan mudah kepada Gemilang untuk menempa tiket ke final. Dalam kategori Pop Rock, pencalonan juga dikuasai nama besar membariskan penyanyi seperti Spider, Dayang Nurfaizah, Hazami, VE dan Zainalabidin. Mereka menghadapi tentangan daripada artis baru seperti Zahid, Jinbara dan Gerhana Ska Cinta. Persoalannya apakah VE yang menyandarkan harapan dengan dua pencalonan, Pop Ye Ye dan Message Girl mampu mara ke peringkat akhir? Mungkinkah Cinta Dewa Dewi sentuhan M Nasir mengulangi kejayaan yang dicipta Spider dalam Anugerah Juara Lagu Ke-19 tahun lalu? Semua persoalan itu akan terjawab dengan berlangsungnya Muzik Muzik 20 Separuh Akhir. Separuh Akhir Irama Malaysia & Etnik Kreatif akan berlangsung pada 15 November ini, jam 4.30 petang, disusuli Balada (16 November) dan Pop Rock (17 November). “Pemilihan lagu dibuat berdasarkan kepada kedudukan lagu di dalam carta mingguan selama 47 minggu yang disiarkan menerusi program Muzik Muzik setiap Khamis, jam 4.30 petang,” kata Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi, Azhar Borhan. SENARAI LAGU YANG LAYAK KE SEPARUH AKHIR MUZIK MUZIK 20 IRAMA MALAYSIA & ETNIK KREATIF: 1. Binafsha Trabye/Waheeda/Waheeda 2. Goyang Habibi Cat Farish/Ruffedge 3. Dendang Sahutan To’ki/To’ki dan Andy Flop Poppy 4. Aduh Saliha M Nasir/Loloq/Mawi 5. Benang Emas Eddie Hamid/Ku Seman/Achik & Siti Nordiana 6. Senang Tari Farihin/Ain & Alia Elkine/Ning Baizura 7. Gurindam Sang Puteri Pak Ngah/Siso/Syazliana 8. Nurul Ain Adnan Abu Hassan/Faris/Rayna Hairina 9. Semalakama Pak Ngah/Ce’Kem/Zehra Zambri 10. Ayuh Juragan Noraniza Idris/Ahmad Fedtri Yahya/Noraniza Idris BALADA: 1. Dedebu Cinta Azlan Abu Hassan/Ucu/Misha Omar 2. Tangisan Dalam Kerinduan Adnan Abu Hassan/Farah 3. Gemilang Aubrey Suwito/Asmin Mudin/Jaclyn Victor 4. Tiada Lagi Tangisan Adnan Abu Hassan/Mohariz/Aishah 5. Langit Ke-7 Master G/Marsya/Sharifah Zarina 6. Awan Yang Terpilu Lin Li Zhen/Loloq/Ning Baizura 7. Tangisan Marhaenis M Nasir/Loloq/Hattan & Dia Fadila 8. Elegi Sepi Azlan Abu Hassan/Julfekar/Azharina 9. Memori Bahagia Adnan Abu Hassan/Faris/Sahri 10. Bila Rindu Azan Addin/Ruffedge POP ROCK: 1. Cinta Dewa Dewi M Nasir/Loloq/Spider 2. Dayang Sayang Kamu Cat Farish/Dayang Nurfaizah 3. Pop Ye Ye VE/Zaf & Cham/VE 4. Senyuman Ragamu Eddy J Herwan/Edy & Radhi OAG/Gerhana Ska Cinta 5. Kata Hazami/Hazami, Tris & Arab/Hazami 6. Milikku Cat Farish/Zahid 7. Rahsia Fathul/Flop Poppy 8. Kasihnya Laila Mala/Pak One/Jinbara 9. Message Girl Damien Shortysoul/VE 10. Gaia Pacai & Zainalabidin/Pacai/Zainalabidin Apa kata penyanyi yang pertama kali bertanding Farah “SYUKUR kerana walaupun Tangisan Dalam Kerinduan sudah lama popular, namun peminat terus memberi sokongan hingga layak ke Separuh Akhir. Secara peribadi, Farah tidak mahu meletak harapan yang terlalu tinggi. “Apa yang penting, Farah akan membuat latihan secukupnya untuk tidak menghampakan semua. Farah tidak mahu terlalu memikirkan soal pertandingan kerana ia akan memberi tekanan. Farah harap tidak melakukan kesilapan kerana perkara remeh,” katanya. Zahid “GEMBIRA kerana dapat bertanding dengan mereka yang sudah biasa dalam pertandingan ini. Hati siapa yang tidak berbangga kerana tersenarai bersama komposer dan penyanyi yang sudah terkenal di negara ini. “Zahid sangat bersyukur dan berterima kasih kerana Milikku mendapat kepercayaan besar peminat. Peluang ini adalah sesuatu yang sukar untuk digambarkan,” katanya. Sahri “TERPERANJAT kerana banyak lagu yang bagus dan popular menyertai pertandingan ini. Namun, pada masa sama terselit juga perasaan bangga. Saya berada di sini adalah atas kehendak peminat. “Memori Bahagia mempunyai kekuatan pada melodi dan liriknya yang indah. Penghayatan juga memainkan peranan besar kerana gagal menghayatinya, saya tidak mampu menyanyikan lagu ini dengan baik,” katanya. Jaclyn Victor “PERASAAN bercampur baur, teruja kerana pertama kali bertanding dan takut apabila melihat nama besar yang bertanding. Memikirkan itu saja sudah buat saya berdebar. Saya tidak berani menaruh harapan tinggi. “Kalau ada rezeki, adalah... Muzik Muzik menjadi landasan terbaik untuk memberi pendedahan kepada penyanyi baru seperti saya. Satu pengalaman yang cukup berharga terutama apabila dapat berkumpul dengan ramai penyanyi yang baik,” katanya. Dia Fadila “DARI segi melodi, Tangisan Marhaenis adalah sebuah lagu yang kuat. Saya melihat gabungan ini sebagai sebuah pakej kerana ia disertai penulis lirik yang baik, Loloq serta Hattan, penyanyi yang diakui bakatnya. “Cuma, saya sebagai penyanyi baru agak gerun apabila menerima penghormatan ini. Banyak yang perlu diperbaiki. Apabila mendapat tahu lagu ini layak, saya asyik memikirkan soal latihan saja,” katanya. Sunday, October 23, 2005
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 23 OKTOBER 2005) Dunia Mawi: Tidak sempat berzanji depan PM
SALAM takziah saya ucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, Khamis lalu. Marilah sama-sama kita sedekahkan doa dan bacaan al-Fatihah, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Sesungguhnya berita pemergian Allahyarham yang dihormati mengejutkan saya dan seluruh rakyat Malaysia. Apatah lagi saya dijadualkan berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama Perdana Menteri di Masjid Kuala Sungai Muda dan Masjid Al-Badawi di Kepala Batas, Khamis lalu. Saya diminta berzanji dan berqasidah di majlis itu. Memandangkan ini kali pertama saya berzanji sepanjang bulan puasa ini, saya melakukan persiapan selama beberapa hari demi memastikan semuanya berjalan lancar. Sesibuk mana sekalipun, saya tetap memperuntukkan sedikit masa untuk latihan berzanji dan berqasidah. Tidak sabar rasanya hendak berzanji dan bertemu Datuk Seri. Pun begitu, tiada siapa dapat melawan takdir, Allahyarhamah pergi menyahut seruan Ilahi pada bulan mulia ini. Menghormati pemergian Allahyarham, majlis berkenaan dibatalkan. Bercerita mengenai jadual sepanjang minggu, Selasa lalu saya berbuka puasa bersama anak yatim di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan. Sayu hati apabila melihat wajah anak kecil ini. Saya manfaatkan masa sebaik-baiknya untuk menggembirakan mereka. Pada kesempatan itu juga saya menyerahkan zakat kepada mereka yang sangat saya sayangi. Sejurus selepas majlis tamat, saya bergegas ke Astro untuk menjayakan program siaran langsung Muzik@Ria yang dihadiri kira-kira 70 penonton. Banyak juga perkara yang saya bualkan dengan hos rancangan, termasuk mengenai bulan puasa dan persiapan raya. Bagi memeriahkan lagi suasana, saya mendendangkan lagu Ku Pohon Restu Ayah Bonda yang pernah dipopularkan bekas vokalis Exists, Mamat buat pertama kalinya. Untuk makluman semua, lagu itu dimuatkan dalam album raya AF3 yang kini di pasaran. Album raya Saya juga tidak ketinggalan mempromosikan album raya dan album Evo’05 (01) yang memuatkan single saya, Fuad, Amy, Elliza dan Reza. Kemudian, saya ke studio untuk merakam album solo. Rabu lalu, saya ke kedutaan Pakistan di Jalan Ampang untuk menyerahkan sumbangan 100,000 paket mi segera Mamee kepada mangsa gempa bumi di Pakistan dan India. Selepas itu, saya ke Penjara Kajang untuk menghadiri majlis perjumpaan bersama banduan juvana. Majlis anjuran Putera dan Pemuda Umno itu dirasmikan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar. Secara peribadi, saya sangat berbesar hati dan teruja dengan jemputan itu, apatah lagi saya diberi kepercayaan untuk memberi ceramah dan kata-kata semangat kepada pesalah juvana. Antara isi kandungan ceramah pada petang itu, saya memberi semangat kepada pesalah juvana supaya cekal dalam mengharungi kehidupan selepas keluar dari penjara. Semoga mereka dapat menjadi rakyat yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Saya tekankan apa yang berlaku adalah satu dugaan buat mereka. Ambillah iktibar daripada kesilapan lalu untuk membentuk kehidupan yang lebih sempurna. Pertemuan singkat itu turut memberi pengalaman baru kepada saya, di mana saya dapat merasai kepedihan sebahagian besar banduan berpuasa dan berhari raya di penjara. Seterusnya, saya berbuka puasa pada majlis sidang akhbar pengumuman separuh akhir Anugerah Juara Lagu di Hotel Istana. Syukur Alhamdulillah, lagu Aduh Saliha terpilih untuk berentap di peringkat itu. Ketika lagu itu diumumkan, perasaan gembira dan terharu bercampur aduk. Meskipun baru, ia terpilih antara 30 lagu yang dipertaruhkan. Buat pertama kalinya nama saya sebaris dengan artis lebih berpengalaman. Lebih menarik, lagu dendangan Zahid, Sahri dan Farah turut tercalon. Saya berbangga dengan pencapaian ini dan berharap peminat mendoakan kami berjaya dalam kategori masing-masing. Jam 10 malam, saya ke studio Luncai Emas di Sungai Buloh untuk merakamkan lagu terakhir yang akan dimuatkan dalam album sulung berjudul Perempuan. Seperti Aduh Saliha, lagu ciptaan M Nasir ini tidak kurang hebatnya. Ia memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri, selari dengan kemasyhuran sifu berpengalaman luas itu. Kelmarin, saya mengambil lesen memandu. Pada petangnya, saya menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. Semalam, saya menjayakan program Marhaban Astro di pusat beli-belah The Summit, Subang Jaya bermula jam 2 hingga 4 petang. Wassalam... bertemu lagi minggu depan. Friday, October 21, 2005
Mawi balas ucapan Aidilfitri secara online Credit to: BH 21/10/2005
Oleh Zainuri Misfar TERBARU: Mawi berjanji membalas sebanyak mungkin ucapan SMS daripada peminat. Peminat Mawi yang tidak sempat mengirimkan kad raya kepadanya boleh menghantar SMS SEKIRANYA bernasib baik, mereka yang menghantar pesanan SMS paling kreatif berpeluang memenangi pakej melancong ke Syria selama enam hari. Mawi akan menjawab terus SMS sekiranya ada masa yang terluang. Sebaliknya, setiap pesanan SMS kepada Mawi akan dibalas dengan ucapan pantun yang sudah diatur menerusi komputer. Sebanyak 30 pantun disediakan yang semuanya dipilih Mawi. Bakat baru yang diangkat dari Akademi Fantasia 3 (AF3) kini mengumpulkan 40,000 peminat. Menurut Mawi, setakat ini dia sudah menerima lebih 700 kad raya yang dihantar ke rumah keluarga di kampungnya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor. “Jumlah kad raya itu tidak termasuk yang dihantar ke Maestro. Untuk SMS secara online ni, saya akan jawab mengikut cara saya. Sebenarnya tidak perlulah formal sangat. Boleh secara kawan-kawan atau bergurau. “Ini bergantung kepada siapa dan cara mereka hantar SMS ini,” kata Mawi pada majlis pelancaran khas menjawab SMS live menerusi talian istimewa (online) di Hotel Istana, baru-baru ini. Portal SMS khas untuk peminat Mawi itu dibangunkan oleh Airocom Technology Berhad dengan kerjasama Kelab Sahabat Mawi Malaysia (Mawi FC). Pesanan SMS paling kreatif pula akan menerima hadiah istimewa iaitu pakej pelancongan bernilai RM40,000 sumbangan Pearl of the Orient Travel & Tours (POTO). CUBA: Mawi membalas ucapan peminat sambil diperhatikan Mohd Fauzi. Menurut Mawi, menerusi SMS seperti itu, dia mampu membaca dan membalas setiap pesanan yang dikirimkan kepadanya sebanyak yang boleh berbanding kad raya. “Di kampung saja saya ada menerima 500 hingga 600 kad ucapan. Ini tidak termasuk yang dihantar ke Maestro. Saya cuba membaca semuanya. Tapi memang tidak mampu nak balas semuanya. Terlalu banyak...,” katanya. Naib Presiden Sokongan Bisnes Airocom Technology, Mohd Fauzi Jamaudin, berkata pihaknya memberi kata laluan kepada Mawi untuk membolehkan anak muda itu membalas SMS daripada peminatnya pada bila-bila masa saja. “Mawi sendiri akan memilih SMS paling kreatif dan seterusnya layak menang hadiah utama itu. SMS ini akan dibuka sehingga 30 November depan,” katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif POTO, Ab Rahman Mohd Ali, berkata selain Syria, pihaknya menyediakan hadiah berbentuk pakej melancong ke Beijing, Bangkok, Bali, Vietnam, Phuket, Jakarta dan Hong Kong. “Kami bercadang hendak membawa Mawi ke Syria kerana di situlah tempat kelahiran banyak Nabi kita. Dengan membawa Mawi ke sana, kita mungkin dapat membantu dia mengurangkan tekanan yang dihadapi sekarang,” katanya. Dalam pada itu, Presiden Penaja Mawi FC, Mohd Izam Musa, berkata usaha memperkenalkan portal SMS ini bagi memudahkan peminat dan penyanyi ini berinteraksi. “Sebahagian daripada kutipan SMS ini kita salurkan kepada pertubuhan kebajikan,” katanya. Turut hadir Naib Presiden Pembangunan Sistem & Teknologi, Airocom Technology Berhad, Hamzah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Maestro, Freddie Fernandes. Berminat? Untuk menghantar ucapan hari raya kepada Mawi menerusi SMS, peminatnya perlu menjadi ahli terlebih dulu dengan taip MAWI<>DAFTAR<>Kad Pengenalan<>Nama Penuh dan hantar pada nombor 32456. Peminat perlu memberikan nama penuh dan nombor kad pengenalan kerana penganjur turut menyediakan hadiah menarik, dengan hadiah utamanya melancong bersama Mawi ke Syria. MAWI terima ribuan SMS RAYA Credit to: HM 21/10/2005
Oleh Yooga Rani Murugiah SUDAH menjadi tradisi acap kali kedatangan Aidilfitri, artis tanah air menjadi orang pertama dihujani pelbagai ucapan salam raya. Kalau dulu, layanan kad raya menjadi ucapan pengganti diri, kini dengan transformasi dan peredaran zaman teknologi, kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) lebih popular dan memudahkan. Bagi juara Akademi Fantasia musim ke-3, Asmawi Ani atau Mawi sendiri yang kini begitu popular turut tidak terlepas diburu peminat kesayangannya. Menariknya, sambutan lebaran buat Mawi kali ini meriah dan bermakna kerana peminat bukan saja menghantar rasa kasih sayang kepada idola seni mereka menerusi kad raya malah penyanyi lelaki kegilaan ramai itu turut menerima ribuan SMS. Sebagai anak seni baru, inilah kali pertama Mawi menerima begitu banyak ucapan SMS raya daripada peminat seluruh tanah air menerusi online Ucapan Selamat Hari Raya Mawi yang bermula 14 Oktober hingga 30 November depan. “Sememangnya saya terharu dan rasa bertuah kerana selepas melihat satu persatu ucapan mesra raya diiringi pantun berbalas memberi kesedaran kepada saya betapa banyak peminat menyayangi dan teruja dengan saya. “Walaupun tahun ini khususnya pada Ramadan al-Mubarak ini, saya terus diburu kesibukan memenuhi undangan qasidah dan marhaban sehingga tiada masa untuk diri saya sendiri, saya masih membalas ucapan raya mereka,” katanya ketika melancarkan SMS Raya Online anjuran Kelab Sahabat Mawi Malaysia (MAWIFC). SMS Raya Online ini diwujudkan dengan kerjasama syarikat yang menyediakan perisian dan perkhidmatan SMS, Airocom Technology Berhad dan agensi pelancongan Pearl of The Orient Sdn Bhd bagi membolehkan peminat Mawi menghantar ucapan raya. Mawi yang memperuntukkan masa sehari saja pada 18 Oktober lalu untuk membalas SMS peminat secara online, berkata purata dalam sehari dia menerima kira-kira 700 SMS dan jumlah itu kian bertambah dari hari ke hari. Menurutnya, selain SMS secara online, Mawi juga menerima lebih 500 kad raya yang dihantar ke kampung halamannya di Felda Taib Andak, Kulai dan jumlah itu tidak termasuk kad yang diterima pihak Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro). Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez berkata, memandangkan ucapan SMS raya online meningkat begitu mendadak dan dengan kesibukan Mawi menghadiri aktiviti, bintang AF3 itu cuma mampu membalas apa yang terdaya saja. Katanya, bagi SMS yang tidak dapat dibalas oleh Mawi sendiri, sistem secara automatik akan membalas ucapan peminat bagi pihak Mawi dengan pantun raya. Untuk tujuan itu, Mawi sendiri sudah memilih 30 pantun bersesuaian ucapan raya. Freddie berkata, peminat boleh menghantar seberapa banyak ucapan SMS yang dimahukan dan bagi SMS menarik dan paling kreatif dipilih Mawi akan berpeluang melancong ke Syria bersama penyanyi kesayangan mereka pada Aidilfitri, tahun depan. Menurut program yang bertujuan mengumpul dana bagi aktiviti ahli selain menyumbang kepada rumah kebajikan, sembilan pemenang yang terpilih menghantar SMS paling banyak juga berpeluang memenangi pakej pelancongan antaranya ke Beijing, Jakarta, Vietnam, Hong Kong, Bali dan Bangkok. Peminat perlu mendaftar untuk mengikuti program ini sebelum menghantar ucapan SMS raya kepada Mawi. Mereka cuma perlu menekan nama Mawi daftar_nombor kad pengenalan_nama peminat dan hantar ke nombor 32456. Jelas Freddie, kos untuk mendaftar RM2.50 dan sebanyak RM1 dikenakan untuk penghantaran ucapan SMS. Kesemua hasil akan dikongsi bersama Airocom dan sebahagian lagi disumbangkan ke Rumah Anak-Anak Cacat Batang Kali Hulu Selangor. Dalam perkembangan terbaru album solonya, Mawi sudah pun merakamkan suara bagi lapan lagu setakat ini. Lima daripada lagu itu adalah ciptaan M Nasir termasuk Aduh Saliha, Perempuan, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Di Pintumu. Apa yang menarik Lagu Jiwa Lagu Cinta yang berkonsep a go go turut menggandingkan Mawi secara duet bersama M Nasir sendiri. Lagu lain yang sudah dihasilkan setakat ini ialah Cinta Hakiki dan Kurniaan Tuhan daripada Yasin dan Kian (Fauzi Marzuki). Thursday, October 20, 2005
Mawi Serikan Konsert Khas Untuk Mangsa Gempa Bumi Credit to: BERNAMA
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Penyanyi sensasi tanah air masa kini, Asmawi Ani atau Mawi merupakan antara barisan artis terkenal yang akan menyerikan konsert khas pertengahan bulan depan bagi mengutip derma untuk mangsa gempa bumi di selatan Asia. Semasa bercakap pada persidangan media di bangunan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini Rabu, Mawi berkata bencana yang menimpa rakyat negara itu menyentuh perasaannya dan beliau akan melakukan sedaya upayanya dalam usaha menyalurkan bantuan. Beliau berkata bencana itu merupakan peringatan kepada semua umat manusia bahawa tiada yang kekal dalam hidup ini, melainkan mati. "Ini harus menjadi peringatan kepada kita semua bahawa hidup hanya sementara," katanya. Mawi berkata konsert itu yang akan dimuktamadkan kemudian, dianjurkan bersama oleh Maestro Talent dan Persatuan Karyawan Malaysia di salah sebuah stadium di Lembah Klang. Terdahulu, Mawi menyerahkan sumbangan daripada Mamee-Double Decker (M) Bhd iaitu 100,000 paket "Mamee Sllrrrp" kepada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Mejar Jeneral (B) Talat Munir. Talat mengucapkan terima kasih kepada Mawi dan artis lain yang tampil mengikrarkan bantuan mereka kepada mangsa gempa bumi di Pakistan. Talat yang tidak dapat menahan perasaan, memberitahu pemberita jumlah kematian melepasi 53,000 orang manakala mangsa yang cedera pula mencecah sehingga 6,000 orang. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent, Freedie Fernandez. Tuesday, October 18, 2005
Mawi laris jadi duta produk Credit to: UM - 18/10/2005 Oleh: ABD. AZIZ ITAR DARI kiri: Simon Wong, Richard Yeow, Mawi dan Freddie Fernandez pada majlis menandatangani kontrak Mawi sebagai duta Canon di Kuala Lumpur baru-baru ini. -------------------------------------------------------------------------------- ASMAWI Ani atau Mawi menjadi tumpuan masyarakat dan buruan para peminat fanatiknya selepas muncul juara Akademi Fantasia 3 (AF3) pada 6 Ogos lalu. Setelah dua bulan bergelar juara AF3, kehangatan populariti yang diraih anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini nampaknya belum juga reda. Sebaliknya, Mawi terus menjadi buruan para peminatnya termasuk pelbagai syarikat yang berminat mahu menjadikannya sebagai duta produk keluaran mereka. Sabtu lalu, Mawi buat pertama kalinya menerima tawaran sebagai duta bagi produk video dan kamera digital MVX 1Si keluaran Canon Marketing (M) Sdn. Bhd. Menurut Mawi, itu adalah kali pertama dia dilantik sebagai duta bagi sebuah produk dan sekali gus menjadi model produk tersebut. "Selain dipilih menjadi duta Canon, saya juga akan mempromosikan produk mereka dalam aktiviti-aktiviti seni yang akan saya adakan nanti. "Selain Canon, ada banyak lagi syarikat lain yang sudahpun menawarkan kepada saya menjadi duta produk mereka,'' katanya sewaktu ditemui selepas menandatangi kontrak selama setahun dengan syarikat pengeluar video, kamera digital dan barangan elektronik tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Kanan dan Pengurus Besar Canon Marketing (M) Sdn. Bhd., Richard Yeow dan Pengurus Kanan Pemasarannya, Simon Wong. Artis syarikat rakaman Maestro Records ini memang laris dan menjadi buruan banyak syarikat yang mahu menjadikannya sebagai duta mereka. Ketua Pegawai Operasi Maestro Records, Freddie Fernandez berkata, sehingga hujung tahun ini sahaja Mawi sudahpun menerima enam tawaran sebagai duta pelbagai produk. "Setakat ini, Mawi sudahpun bersetuju untuk menjadi duta bagi enam lagi produk daripada pelbagai jenis. Antaranya, produk barangan kosmetik, makanan dan kereta. "Kami (Maestro Records) akan umumkan perlantikan Mawi sebagai duta bagi semua produk itu satu demi satu. "Bagaimanapun, kami akan berbincang terlebih dulu dengan Mawi sebelum dia menerima sesuatu tawaran,'' ujar Freddie. Dalam pada itu, kesibukan Mawi sebagai duta produk tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam bidang nyanyian yang telah menjulang namanya itu. Kata Mawi, dalam hal itu dia menyerahkan kepada pihak Maestro Records untuk menguruskan segala jadual harian sebagai penyanyi. "Saya tidak ada masalah kerana semua jadual harian saya sudahpun dirancang oleh Maestro Records. Saya memang sibuk setiap hari. "Kesibukan menyanyi dan menjadi duta produk menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran berlakon daripada Tayangan Unggul Sdn. Bhd. "Walau bagaimanapun, saya memang minat berlakon. Insya-Allah, tahun depan kalau masa mengizinkan saya mahu berlakon filem,'' jelas Mawi. Populariti yang diraih oleh Mawi menyebabkan jejaka berusia 24 tahun ini sering menjadi asakan para peminat walau di mana juga dia berada. Namun Mawi menafikan dia terpaksa menggunakan khidmat beberapa pengawal peribadi bagi menangani masalah tersebut. "Saya tidak ada bodyguard. Kalau adapun bodyguard, ia bukannya secara tetap tetapi untuk majlis dan persembahan tertentu sahaja. "Semua itu untuk tujuan keselamatan. Adakalanya pihak penganjur yang menyediakan bodyguard untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,'' katanya. Kata Mawi, selain bermarhaban, dia juga telah dijemput untuk berqasidah pada satu majlis yang akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 21 Oktober ini. "Saya akan berqasidah sebelum majlis berbuka puasa di sana (Masjid Wilayah Persekutuan). Majlis itu anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia,'' ujar Mawi. Bercakap tentang album pula, kata Mawi album solonya yang berjudul Aduh Saliha dijangka akan berada di pasaran pada 25 Oktober ini. Lapan buah lagu termasuk Aduh Saliha dimuatkan dalam album yang menampilkan beberapa komposer terkenal dengan pelbagai rentak lagu. "Semua lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah lagu-lagu baru. Pelbagai konsep lagu diselitkan dalam album ini antaranya pop, ago go dan world music. "Kebanyakkan lagu berkisar tentang ketuhanan. Antara komposer yang terbabit menjayakan album ini ialah Fauzi Marzuki, Yasin dan Ajai,'' kata Mawi lagi. Antara lagu yang dimuatkan menerusi album Aduh Saliha berjudul Cinta Hakiki, Kurnia Tuhan, Berbalas-balas, Kian, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Di Pintu Mu. Monday, October 17, 2005
Giliran Perempuan pula Credit to: MA - 16/10/2005
SECARA purata, penjualan cakera padat (CD) dan kaset album tempatan dicatat pada kadar 10 peratus hingga 25 peratus. Ramai berpendapat situasi ini berlaku kerana jurang perbezaan harga yang tinggi di antara kaset dan CD. Bagaimanapun, Maestro Records bersama Zezz Entertainment mengorak langkah berani dalam meletakkan harga CD pada tahap murah, RM21 dan kaset RM16.80. Pengarah Urusan Zezz Entertainment, Mohd Firhad Amat, berkata pengorbanan dan percaturan berisiko tinggi ini ternyata membawa hasil apabila penjualan CD album Best Of Mawi World mencecah 100,000 unit berbanding kaset, 70,000 unit. “Ini menandakan tahap penjualan CD meningkat ke tahap 60 peratus berbanding kaset 40 peratus. Ini fenomena baru cetusan produk yang di kehendaki penggemar muzik yang ditawarkan pada tahap harga murah. “Keseluruhan penjualan 170,000 unit ini menjadikan album Best Of Mawi World sebagai album ketiga paling laris dalam sejarah industri muzik tempatan untuk kategori artis lelaki solo tempatan. “Tempat kedua dipegang M Nasir melalui album Canggung Mendonan iaitu 185,000 unit, dan tempat pertama masih kekal disandang Awie dengan album Tragedi Oktober yang mencapai tahap tertinggi 220,000 unit,” kata Firhad. Kerancakan penjualan dan permintaan peminat memberi inisiatif kepada dua syarikat ini untuk menerbitkan album demi album bekas graduan Akademi Fantasia 3 (AF3). Jumaat ini pula bakal menyaksikan album solo Mawi pertama, Aduh Saliha di pasaran yang mengandungi lapan lagu hasil karya M Nasir, Fauzi Marzuki, Ajai dan Yasin. Menerusi lagu Cinta Hakiki, Yasin meneruskan usaha memperkenalkan elemen Arab dengan arus perdana pop Melayu melalui penyampaian Mawi yang menyayat hati pendengar. Ajai pula menambah elemen muzik sejagat melalui Kurniaan Tuhan. “Fauzi menampilkan dua lagu, iaitu Berbalas-balas dan Kian. Elemen joget diterapkan bersama irama pop untuk Berbalas-balas, manakala Kian mengimbau kembali kehebatan dan kesyahduan lagu evergreen Fauzi sebelum ini, iaitu Kekasih Awal Dan Akhir. “Penyampaian Mawi untuk kedua-dua lagu ini membuktikan beliau penyanyi ‘versatile’ yang bakal mewarnai dunia muzik tempatan dan bukan sekadar bertahan untuk satu atau dua album,” katanya. Firhad berkata, selain single pertama Aduh Saliha, M Nasir menyumbang tiga lagi lagu — Perempuan, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Di Pintumu. Konsep elemen Arab dan pop tradisional Melayu diketengahkan di dalam Perempuan dan balada untuk Di Pintumu. Manakala Lagu Jiwa Lagu Cinta pula membawa konsep pop a-go-go. Lagu Aduh Saliha menduduki tangga teratas di setiap carta seluruh tanah air dan meneruskan fenomena Mawi di corong radio. Yang memberangsangkan ialah keupayaan lagu itu menduduki carta nombor satu Muzik Muzik TV3 pada minggu pertama dicalonkan 5 Oktober lalu. Dalam pada itu, Firhad memberitahu, album Salam Raya — Akademi Fantasia 3 yang memuatkan 14 lagu hari raya juga mendapat sambutan baik. Tempahan hari pertama mencecah 18,000 unit (10,000 kaset dan 8,000 CD). “Ternyata Mawi membuktikan keupayaan beliau dalam mewarnai industri muzik tempatan dengan bakat dan potensi sebagai penyanyi, penghibur dan ikon untuk penggemar seni suara. “Kejayaan album Mawi menjadi pemangkin untuk menghidupkan kembali industri muzik untuk diberi perhatian kembali oleh penggemar seni suara,” katanya. Sunday, October 16, 2005
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 16 OKTOBER 2005) Dunia Mawi: 10 jam rakam Aduh Saliha
BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan tragedi gempa bumi yang melanda Pakistan, Afghanistan dan India. Kawasan paling teruk mengalami kerosakan ialah sekitar Kota Muzaffarabad, bandar utama Kashmir yang ditadbir Pakistan. Lebih menyedihkan, puluhan ribu menjadi mangsa korban tragedi itu. Sementara itu, nasib 10,000 lagi penduduk di kawasan pedalaman di sepanjang sempadan India-Pakistan belum diketahui. Takziah saya ucapkan kepada mangsa tragedi menyayat hati itu. Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia menghulurkan derma ikhlas kepada mangsa. Sesungguhnya bantuan anda dapat membantu meringankan beban mereka. Saya difahamkan, Maestro turut merancang menganjurkan beberapa program bagi mengumpul dana yang akan disalurkan kepada tabung bantuan gempa bumi Asia Selatan. Insya-Allah, saya juga akan memainkan fungsi bagi membantu menjayakan rancangan Maestro. Selasa lalu, saya berpeluang bertemu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di kediamannya. Sepanjang pertemuan yang memakan masa satu jam itu, kami tidak ketinggalan membicarakan cara terbaik mengumpul dana untuk tabung berkenaan. Sesungguhnya saya berbesar hati kerana berpeluang bertemu dan berbual dengan beliau. Tidak pernah terfikir sebelum ini, saya mendapat kesempatan yang sungguh berharga ini. Okay, beralih kita pada cerita minggu ini. Pertama sekali, saya ingin merakam ucapan ribuan terima kasih kepada syarikat yang sudi menaja majlis berbuka puasa bersama saya sepanjang Ramadan. Syukur alhamdulillah, rezeki saya sepanjang Ramadan tidak pernah putus. Tawaran datang bersilih ganti. Ramai juga bertanya tidakkah saya penat dengan jadual kerja yang terlalu padat. Jujur saya katakan, penat memang penat, tetapi itu menjadi asam garam kehidupan anak seni. Inilah jalan yang saya pilih, jadi saya harus menerimanya dengan hati terbuka dan pada masa sama menganggap ia sebagai dugaan. Saya selalu mengingatkan diri, banyak lagi dugaan besar pada masa depan. Kalau dugaan sekecil ini pun saya tidak tahan, macam mana saya boleh harungi dugaan lebih besar? Memandangkan tawaran persembahan semakin bertambah, Maestro semakin prihatin dengan kesihatan saya. Demi memastikan saya sentiasa bertenaga untuk melunaskan tanggungjawab yang ditetapkan, mereka mewajibkan saya mendapat tidur yang cukup; tujuh jam sehari. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Maestro kerana memahami dan prihatin dengan keadaan saya. Jadual saya padat sehingga 27 Oktober ini. Selain menjayakan sesi fotografi, iklan komersial, majlis berbuka puasa dan Marhaban Bersama Astro, saya akan terbabit dengan dua program besar. Program pertama ialah Qasidah di Masjid Albadawi di Kepala Batas pada 20 Oktober ini. Pada 21 Oktober pula, saya menerima undangan berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Selepas 27 Oktober ini, saya akan bercuti dan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Saya difahamkan, Maestro memberi pelepasan 10 hari dan jika ada perubahan, mungkin seminggu. Semuanya terpulang pada Maestro kerana mereka bertanggungjawab menyusun jadual saya. Sempena lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi, ramai peminat dan media bertanya mengenai rumah terbuka. Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka, tetapi perkara itu masih dalam perbincangan dengan Maestro. Kemungkinan besar ia dilaksanakan pada hari raya ketiga di Dewan Felda Taib Andak yang baru siap. Rakaman Kita tutup cerita raya dan beralih pada album solo yang akan di pasaran penghujung bulan ini. Boleh dikatakan sepanjang minggu ini masa saya banyak dihabiskan di studio selain memenuhi undangan fotografi, iklan (Eon dan Astro) dan majlis berbuka puasa. Kebanyakan proses rakaman dilakukan pada sebelah malam. Pengalaman pertama merakam lagu di studio tidak semudah disangka. Saya berkampung di studio Luncai Emas bersama M Nasir untuk merakamkan lagu Aduh Saliha. M Nasir cukup teliti dalam setiap kerjanya. Jika ada yang tidak kena, dia akan minta saya melakukannya berulang kali hingga dia berpuas hati. Proses rakaman mengambil masa 10 jam, paling lama berbanding lagu lain. Namun tidak mengapa, saya seronok bekerja dengan M Nasir. Banyak perkara baru saya belajar daripadanya sepanjang rakaman itu, termasuk bagaimana mahu menjiwai lagu serta mengawal suara. Selain Aduh Saliha, lagu ciptaan Ajai, Kurnia Dunia yang mengetengahkan elemen pop rock dan world muzik mengambil masa lapan jam untuk disiapkan. Proses rakaman bermula 11 malam dan berakhir 7 pagi. Proses rakaman dua lagu lagi, Yang Hakiki ciptaan Fauzi Marzuki dan Kian (Yasin) mengambil masa dua hingga tiga jam untuk disiapkan. Pengalaman yang saya raih di studio bersama M Nasir dan Ajai banyak membantu saya ketika menjalani rakaman lagu Fauzi Marzuki dan Yasin. Secara peribadi, saya berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan empat komposer tersohor ini. Masing-masing memiliki kehebatan dan gaya tersendiri. Saya mengagumi mereka dan berharap dapat mendendangkan lagi karya mereka pada masa depan. Sampai di sini coretan saya kali ini. Minggu depan kita akan berkongsi lebih banyak cerita menarik dan terkini. Friday, October 14, 2005
Mawi tak menang tangan pada bulan Ramadan Credit to: HIP - BH Oleh Zul Husni Abdul Hamid SUMBANGAN: Mawi bersama Chee Loo Fun menyampaikan sumbangan Maxis kepada anak yatim. Silap jika ada yang berpendapat Ramadan membataskan aktiviti artis. BINTANG Akademi Fantasia 3, Mawi, umpamanya terus diburu kesibukan. Satu demi satu aktiviti menantinya. Kesibukan itu terus menanti Mawi sehingga 27 Ramadan, sebelum dia diberi pelepasan untuk bercuti menyambut kedatangan Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Itu pun cutinya tidak panjang. Hanya 10 hari, namun andai keadaan memaksa, Mawi terpaksa memendekkan percutiannya kerana beberapa tawaran persembahan sudah sedia menanti selepas hari raya. Malah, jadual seninya sentiasa padat menjelang tahun baru. Dalam kesibukan yang bertali arus, anak Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu begitu tenang menghadapinya. Simpati melihat Mawi. Ketika berbuka, dia hanya sempat menjamah sedikit makanan. Seterusnya, berderet menanti peminat yang ingin mengabadikan kenangan bersamanya. Itulah situasi yang dialaminya ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama Mawi di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, anjuran Hotlink, baru-baru ini. “Saya terima ini sebagai rezeki. Juga sebagai dugaan untuk artis baru berdepan dengan cabaran bekerja di bulan puasa. Tidak apa, ini (dugaan) baru sedikit. Banyak lagi yang lebih besar menanti,” katanya apabila ditanya bagaimana menyesuaikan diri dengan suasana berbeza Ramadan tahun ini. Rutin itu memberi sedikit cabaran, tambahan pula Ramadan menyediakan banyak ganjaran lumayan kepada mereka yang mengambil manfaat pada bulan mulia itu. “Soal ibadah, biar hanya saya dan Tuhan saja yang tahu. Saya cuba seimbangkan. Memang rindu dengan suasana Ramadan yang dulu, tetapi saya sudah bersedia menghadapi keadaan ini. Doa saya diberi kekuatan untuk mengharunginya,” kata Mawi atau nama penuhnya, Asmawi Ani. Lantaran waktu yang menghimpit, sedaya upaya penyanyi Aduh Saliha itu akan menyediakan ruang untuk berehat secukupnya. Justeru, kebanyakan aktiviti membabitkannya disusun pada waktu petang. “Saya memastikan tidur yang mencukupi, di samping mengambil vitamin sebagai makanan tambahan. Bimbang juga kepenatan boleh menjejaskan kualiti, tambahan pula saya kini sibuk dengan rakaman album penuh,” katanya. Menyentuh sambutan Aidilfitri, Mawi berkata, dia sudah menyiapkan diri untuk berdepan dengan jumlah kehadiran tetamu yang luar biasa. “Raya tetap raya. Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga di Padang Felda Taib Andak,” katanya yang sudah pun menyediakan kelengkapan 1 Syawal untuk ibu bapa. “Mereka tidak pernah minta apa-apa, cukup jika saya menghormati. Tetapi, sebagai anak, saya ingin melihat kebahagiaan mereka pada hari raya. Itu pun tidak cukup untuk membalas jasa mereka yang terlalu besar,” katanya lagi. Pengalaman pertama di studio rakaman TIDAK mudah! Itu ungkapan pertama Mawi apabila diajukan pertanyaan mengenai pengalaman di studio untuk menyiapkan album sulungnya. Aduh Saliha, sentuhan M Nasir adalah lagu pertama yang dirakamkan. “M Nasir orangnya teliti. Selagi tidak berpuas hati, dia akan meminta saya mengulangi rakaman. Memang mencabar kerana saya mengambil masa 10 jam untuk memastikan Aduh Saliha sempurna,” katanya. Begitu juga dengan lagu Kurnia Dunia ciptaan Ajai yang mengambil masa sehingga lapan jam untuk disiapkan. “Beberapa versi lagu dirakamkan kerana penerbit mahukan yang terbaik untuk diberikan kepada peminat,” katanya. Sehingga ini, Mawi sudah menyempurnakan rakaman lima lagu dalam album berkenaan. Dia merakamkan sentuhan Fauzi Marzuki dalam Kian dan Yasin menerusi Yang Hakiki. Baki tiga lagi lagu akan dirakamkan dalam masa terdekat. “Album itu dijadualkan siap menjelang 21 Oktober ini dan akan berada di pasaran menjelang Aidilfitri,” katanya. Sebelum itu, Mawi juga muncul dalam album kompilasi raya AF3 membawakan lagu Ku Pohon Restu Ayah Bonda serta Lagukan Irama Raya bersama bintang lelaki AF3. Ingin bantu mangsa gempa di Asia Selatan PENDERITAAN yang ditanggung mangsa gempa bumi di India dan Pakistan menjentik hati Mawi untuk bersama menggembleng bahu membantu. Menerusi pengurusannya, Maestro Records, mereka sedang berbincang dengan beberapa pihak bagi merealisasikan usaha itu. “Inilah sumbangan saya dan berharap impian murni itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi,” katanya. Sementara itu, pada acara berbuka puasa bersama Hotlink, Penasihat Media Maxis, Datuk Ahmad Talib dan Ketua Pemasaran Pra Bayar Maxis, Chee Loo Fun menyampaikan sumbangan duit raya dan cenderahati kepada 42 anak yatim. Mereka terdiri daripada penghuni Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail, Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF), Rumah Anak Yatim Asrama Damai dan Pertubuhan Anak Yatim Islam Daerah Sabak Bernam. Mawi pula menghadiahkan posternya sebagai kenangan, selain menghiburkan hampir 800 tetamu dengan lagu seperti Pergi Tak Kembali, Intifada dan Nour El Ain. Seri Paduka undang Mawi berbuka Credit to: HM
Oleh Ellyna Ali elly@hmetro.com.my MELALUI pelbagai aktiviti serta kegiatan seni yang masih berterusan sepanjang Ramadan ini, memanglah agak mustahil bagi juara Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 24, untuk berehat secukupnya. Apakan tidak, selain sibuk menjayakan pembikinan album solonya, dia juga turut terbabit dengan penggambaran iklan, rakaman program raya untuk Astro serta sesi fotografi raya bersama pihak media. Pada masa sama, dia juga perlu memenuhi undangan majlis berbuka puasa dan membuat persembahan. Itu tidak dicampur lagi dengan aktiviti bertadarus serta marhaban. Umpamanya, pada 20 Oktober ini, Mawi terbabit dengan aktiviti qasidah di Masjid Jamek Al-Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang dan pada hari berikutnya dia diundang pula untuk berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Usah ditanya dari mana anak peneroka Felda Taib Andak ini memperolehi kudrat serta keupayaan untuk melakukan semua kegiatan seni itu tanpa henti-henti. Mawi juga tidak punya jawapannya. Namun, anak muda yang digilai ramai ini mengakui dia terpaksa mengambil vitamin untuk mengekalkan tahap kesihatan yang berpanjangan. Selain itu, pihak pengurusannya, Maestro Talent, turut memastikan dia turut mendapat tidur secukupnya selama tujuh jam sehari bagi memastikan artis naungan mereka itu tidak sakit. Ada ketika terbit rasa simpati terhadap anak muda ini apabila melihat wajahnya yang sering kepenatan serta tidak bermaya setiap kali menyudahkan sesuatu persembahan. Namun, itulah harga yang terpaksa dibayar Mawi sesudah popular sebagai juara AF3 dan selepas mengharungi perjalanan sebagai anak seni dalam tempoh cukup singkat iaitu hanya tiga bulan saja. Bagi Mawi sendiri, dia menganggap segala apa yang diterimanya itu satu cabaran serta dugaan buat dirinya. “Sebenarnya, apa yang saya terima ini hanyalah satu dugaan yang kecil. Namun, saya akui bukan senang untuk memuaskan hati orang. “Itu satu cabaran utama sebagai anak seni. Menerima kritikan juga satu cabaran kerana ada kalanya ia tidak begitu memihak kepada kita. “Malah, pujian juga bagi saya ada cabarannya terutama pujian yang terlalu melambung tinggi. “Silap-silap ia boleh memudaratkan diri sendiri apabila sifat riak sudah mulai menguasai jiwa dan pemikiran,” katanya yang ditemui di majlis Berbuka Puasa Bersama Mawi Hotlink di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur, malam semalam. Di sebaliknya, Mawi mengakui berasa rindu dengan suasana dulu sewaktu belum bergelar artis kerana mampu melakukan ibadat sunat sepanjang Ramadan. “Namun, dalam keadaan sekarang pun, saya masih lagi boleh seimbangkan di antara ibadat dan kegiatan seni. “Cuma tidak perlulah tanya sama ada saya buat sembahyang Tarawih atau tidak. Biarlah itu menjadi urusan di antara saya dan Tuhan,” katanya. Menceritakan mengenai perancangan rayanya, Mawi berkata, dia akan mula bercuti pada 27 Oktober ini dan pulang ke kampung untuk bersama-sama dengan kedua-dua ibu bapanya. Dia diberikan cuti 10 hari menghabiskan masa di kampung halamannya, namun tempoh itu mungkin terpaksa dikurangkan kerana dia perlu menyambung semula kegiatan seninya yang lain. Namun, dia mengakui agak gentar untuk memikirkan sambutan yang bakal diberikan peminat menjelang raya nanti. “Memang saya sudah fikir pasti ada orang yang akan bertumpu di rumah saya nanti. “Saya pun tidak tahu hendak buat macam mana untuk menangani keadaan serta situasi seperti itu nanti. Pening kepala saya apabila memikirkan hal ini. “Mungkin caranya ialah dengan membuat rumah terbuka pada hari raya ketiga. Lokasi yang sesuai untuk mengadakan rumah terbuka ini ialah di Dewan Felda Taib Andak atau di padang awam,” katanya. Dalam Majlis Berbuka Bersama Mawi Hotlink, Mawi membawakan tiga lagu iaitu Pergi Takkan Kembali, Intifada dan Nourel Ein. Bersama lagu Pergi Takkan Kembali dan Intifada, Mawi mengundang kumpulan nasyid Brothers untuk menyanyi bersamanya. Malah, Mawi turut membuktikan dia mampu membawakan lagu Brothers dengan baik apabila mendendangkan lagu Teman Sejati secara spontan dengan iringan vokal harmoni kumpulan nasyid itu sendiri. Manakala menerusi lagu Nourel Ein pula Mawi mengundang tiga adik kecil mengiringinya bersama. Brothers yang menjadi pembuka tirai majlis itu turut membawakan tiga lagu iaitu Nur Iman serta Ahlan Ya Ramadan dan Gema Mubarak yang dipetik dari album mini mereka. Dalam majlis itu, Mawi bersama Penasihat Maxis, Datuk Ahmad Talib dan Ketua Pemasaran Pra Bayar, Chee Loo Fun, turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 42 anak yatim. Semua anak yatim ini dihimpunkan dari Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail, Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF), Rumah Asrama Damai dan Pertubuhan Anak Yatim Islam Daerah Sabak Bernam. Thursday, October 13, 2005
Mawi yakin jadi jutawan Credit to: HM
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN mizan@hmetro.com.my SHAH ALAM: Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi membayangkan status jutawan yang diuar-uarkan bakal dimilikinya akan menjadi kenyataan. Mawi, 24, berkata memang menjadi hasratnya menjadi jutawan demi memperkasa dan meningkatkan martabat generasi dan peneroka Felda. “Saya bersedia untuk membulatkan tekad mencipta sejarah sehingga bergelar ‘jutawan Felda’. Memang saya bercita-cita menjadi jutawan dan kini berusaha ke arah itu,” katanya selepas Mesyuarat Agung Kali Pertama Persatuan Peneroka Felda Malaysia dan Penyerahan Anugerah Khas Kepada Generasi Peneroka Cemerlang, di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGS) Malaysia, Tan Sri Rozali Ismail, Presiden Penaja Persatuan Peneroka Felda Malaysia, Saad Latib dan Presiden Yayasan Pembangunan Generasi Felda Malaysia, Dr Shamsul Anwar Sulaiman. Pada majlis berkenaan, Mawi menerima Anugerah Khas Generasi Peneroka Felda Cemerlang untuk Tokoh Kesenian 2005. Selain Mawi, turut menerima anugerah ialah Hanimzah Jalaluddin (Tokoh Keagamaan), Safinah Yaacob (Tokoh Usahawan), Mohd Al-Amirul Ashshahid Mohd Salleh (Tokoh Sukan), Nor Shalikin Ahmad (Tokoh Pelajar Cemerlang) dan Puspavathy Ramaloo (Tokoh Wartawan Media Elektronik). Mawi berkata, keserasian yang mula dirasai di dunia hiburan menguatkan semangatnya untuk terus cemerlang di bidang berkenaan. “Hakikatnya, saya masih belajar menyesuaikan diri bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia hiburan, namun pada masa sama saya dapat merasakan semakin serasi dengan bidang ini,” katanya. Mengulas hasrat Mawi, Rozali berkata, jika Mawi berusaha dan mampu menguruskan kewangannya dengan baik, tidak mustahil dia boleh bergelar jutawan satu hari nanti. Katanya, beliau menasihati Mawi supaya lebih gigih, bijak mengatur strategi untuk berjaya dan pandai menguruskan kewangan. “Sesiapa pun boleh menjadi jutawan asalkan ada usaha, keyakinan dan bijak menguruskan kewangan. Ketika ini kejayaan Mawi masih di peringkat awal dan dia perlu terus berusaha. Apa pun, kita sama-sama berdoa supaya Mawi akan menjadi jutawan,” katanya. Rozali berkata, jika Mawi menjadi jutawan, beliau berharap kejayaan Mawi akan menjadi contoh kepada semua peneroka dan generasi Felda. “Paling penting, Mawi dapat membantu mewujudkan lebih ramai masyarakat Felda yang berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya. Dalam perkembangan sama, Rozali berkata, ada lebih 20 orang ‘jutawan senyap’ di kalangan peneroka dan generasi Felda. ‘Jutawan senyap’ yang saya maksudkan bukan mereka yang menjual tanah untuk mendapat kekayaan segera, tetapi golongan yang berjaya dalam pelbagai bidang, terutama dalam bidang perniagaan. “Kita akan kumpul senarai jutawan berkenaan dan jika diberi persetujuan, senarai berkenaan akan dihebahkan,” katanya. Edisi Nasional: Syor Mawi duta belia Credit to: HM 13102005
Oleh Mohamad Hussin mohamad@hmetro.com.my NAMA juara Akademi Fantasia 3 (AF3) Asmawi Ani atau Mawi disebut sekali lagi dalam persidangan Dewan Rakyat, semalam, apabila seorang Ahli Parlimen mencadangkan supaya penyanyi itu menjadi duta belia. Ismail Noh (Pas - Pasir Mas) yang mencadangkan perkara itu berkata masalah sosial yang melanda negara membimbangkan kerana remaja sekarang bakal pemimpin pada masa depan. “Saya percaya kalau kita mengambil artis sebagai duta belia mungkin ramai mahu menyertai program dijalankan kementerian. “Dengan membawa Mawi sekurang-kurangnya dapat membantu kempen yang dianjurkan khusus bagi golongan belia di negara ini,” katanya. Menurutnya, kerajaan perlu melancarkan kempen menangani gejala sosial di kalangan remaja kurang berakhlak dan bermoral kerana mereka bakal pemimpin. “Saya bimbang kerana remaja hari ini terjerumus pelbagai masalah sosial, sekiranya tidak dibendung dengan segera, negara kita tidak mempunyai belia berwibawa. “Apakah pelan dan tindakan kerajaan ambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, semalam. Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Vigneswaran M Sanasee, berkata kerajaan sudah menjalankan beberapa langkah bagi menangani masalah sosial. Menurutnya, pelbagai program akhlak dan pembangunan untuk mewujudkan belia yang bersahsiah tinggi. “Antara program yang dianjurkan ialah seminar kepimpinan belia, kursus kepimpinan daerah dan sebagainya. “Program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menarik lebih ramai belia menceburi pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Selain itu, kementerian sedang merancang beberapa program baru untuk belia pada masa depan,” katanya. Wednesday, October 12, 2005
Jumpa Mawi di Berjaya Times Square Credit to: HIP - BH 12 Okt 2005
PEMENANG Akademi Fantasia musim ketiga, Asmawi Ani atau Mawi, akan bertemu peminat di Berjaya Times Square pada Sabtu ini, 15 Oktober, sempena pemilihannya sebagai duta jenama Canon bersama Canon Marketing Malaysia. Seramai 100 peminat pertama yang membawa kamera digital Canon akan menerima pas edisi terhad yang ditandatangani Mawi, yang membolehkan mereka berada di tempat eksklusif untuk menyaksikan persembahannya. Seramai 20 peminat pertama yang membeli kamera Canon atau kamera video digital antara jam 11 pagi hingga 5 petang dari gerai Canon pada hari terbabit, akan berpeluang berbuka puasa bersama Mawi. Gerai Canon ini didirikan di jalan masuk Berjaya Times Square. Pada hari itu, Mawi menyampaikan tiga lagu selepas berbuka dan menghabiskan masa sejam melayani peminatnya. Mawi yang dilahirkan pada 25 Ogos 1981 mencipta nama apabila menyertai AF3 dan seterusnya muncul juara pertandingan berkenaan, yang turut disertai 13 pelajar lain. Kejayaan Mawi diteruskan dengan penjualan cukup membanggakan album Koleksi Lagu Terbaik Konsert AF3 - Best of Mawi World yang mencatat jualan 170,000 unit dalam tempoh hampir sebulan di pasaran. Monday, October 10, 2005
Ulama terpikat imej Mawi Credit to: HM - 101005
Oleh Norhadiani Baharom yanie@hmetro.com.my Ingin jadi bilal, cenderung lagu dakwah tarik minat Pegawai Agama Istana Negara JIKA ditanya apakah keistimewaan Mawi sehingga membuatkan ramai orang memujanya, hampir sesiapapun tidak punya jawapan jelas untuk diberikan. Namun yang pasti, latar belakang, penampilan bersih Mawi di samping suara ‘jantan’ miliknya menjadikan insan bernama Asmawi Ani, berusia 24 tahun dan berasal dari Kulai, Johor, itu sangat istimewa. Fenomena Mawi di kalangan masyarakat tempatan masa kini, memberi satu gambaran cukup membanggakan kerana di samping orang kebanyakan, golongan korporat dan ulama turut tertarik memperkatakan mengenai jejaka itu. Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, berkata dia tidak pernah meminati bintang Akademi Fantasia sebelum ini, namun tiba-tiba tertarik menonton musim ketiga program itu kerana Mawi. Katanya, dia menyukai Mawi apabila melihat latar belakang jejaka itu yang ingin menjadi bilal selain cenderung pada lagu dakwah seperti nasyid. “Saya harap Mawi kekal dengan identitinya yang berlatar belakangkan agama dan menjauhi perkara negatif yang boleh merosakkan dirinya. Selain menggugat kepercayaan peminat baik dari segi pemakaian, tingkah laku dalam setiap sudut aspek. “Ini kerana, ramai peminat dari segenap lapisan masyarakat dan bangsa yang meminatinya kerana penampilan bersih yang ditonjolkan. Saya juga menyarankan komposer yang terbabit dalam albumnya kelak menghasilkan lagu bercorak ketuhanan dan nasihat sebagaimana nukilan Habsah Hassan untuk penyanyi Rahimah Rahim. “Malah saya mengharapkan pihak pengurusan kerjaya seni Mawi serta penganjur sentiasa memberi galakan kepada pemuda itu untuk memenuhi undangan majlis seperti tilawah al-Quran. Saya yakin kehadiran beliau dapat menarik minat khususnya remaja ke arah kebaikan,” katanya. Mengenai kedudukan Mawi sebagai tunangan orang, Hassan sentiasa mengharapkan hubungan Mawi dan tunangnya, Nor Diana Mohd Naim kekal berpanjangan. “Biarpun jodoh itu ketentuan Allah S.W.T, manusia hendaklah berusaha agar hubungan kekal harmoni. Seperti keadaan Mawi sekarang, dia mahupun tunang perlu mempertahankan hubungan mereka kerana perpisahan boleh menghilangkan rasa hormat peminat pada Mawi. “Maklumlah dia dilihat sebagai lelaki yang bertanggungjawab dan pilihannya itu adalah atas restu keluarga. Bagi sesiapa yang meminatinya mereka perlu tahu batas kerana perbuatan mengganggu dan merosakkan hubungan orang yang sudah bertunang adalah haram di sisi hukum Islam walaupun pasangan belum berkahwin. “Kepada pihak keluarga tunangnya pula, mereka perlulah banyak bersabar dengan populariti yang dikecapi Mawi ketika ini. Jangan cepat cemburu kerana ia sebahagian dugaan yang sedang menguji Mawi. “Mawi sendiri pernah meminta agar dirinya tidak dipuja kerana sebagai orang biasa dia juga punya banyak kelemahan. Itu satu permintaan yang saya kira sangat baik,” katanya lagi. Sebagai seorang insan yang prihatin dan mengikuti perkembangan anak kelahiran Felda Taib Andak itu, Hassan yang dianggap ulama dan tokoh agama terkena juga tidak lokek memberikan nasihat. Beliau menasihatkan Mawi agar tidak cepat terpengaruh dengan dakwaan kononnya dia bakal menjadi jutawan sebelum hujung tahun ini. Baginya ini sesuatu yang tak sepatutnya diperkatakan. “Saya tidak pasti sama ada benar atau tidak Mawi berkata dia bakal menjadi jutawan hujung tahun ini kerana tidak mendengarnya sendiri. “Jika benar dia berkata demikian saya fikir kenyataan itu salah. Sebagai manusia kita perlu ingat setiap rezeki datangnya atas pemberian Allah berdasarkan usaha dan amal yang kita lakukan malah, dia juga yang berkuasa menariknya. “Kita perlu bersyukur dan jangan takbur dengan kemewahan yang dijanjikan kerana biasanya bila seseorang itu cepat naik, cepat jugalah dia turun kalau tak pandai mengatur atau berperasaan riak. “Bukan itu saja, Mawi juga perlu bijak mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat. Jangan tinggal solat kerana sekali tertinggal, ia menyebabkan kita akan mengulangi kesalahan sama,” katanya. DUNIA MAWI (METRO AHAD - 9 OKTOBER 2005) Dunia Mawi: Tidak tinggal solat tarawih SELAMAT menyambut Ramadan Al-Mubarak saya ucapkan kepada semua umat Islam. Sempena bulan baik ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan dan menjauhi kemungkaran. Ramadan bulan yang suci, yang menguji sejauh mana kesabaran kita menahan lapar, dahaga dan nafsu daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Bercerita mengenai Ramadan, teringat kenangan manis pada zaman kanak-kanak. Saya belajar berpuasa ketika berusia enam tahun. Ada juga sesekali saya curi-curi minum air paip tanpa pengetahuan orang tua. Maklumlah mereka tegas dalam soal agama, jadi terpaksalah saya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan mereka. Setiap kali peristiwa itu terbayang di ruang mata, saya pasti tersenyum sendiri. Zaman kanak-kanak... Kalau tidak silap, saya mula berpuasa penuh apabila usia mencecah lapan tahun. Bangga betul bila dapat berpuasa penuh buat pertama kali. Sejak itu, saya tidak pernah gagal melaksanakan rukun Islam yang satu itu. Ketika di kampung dulu, saya akan menunaikan solat tarawih dan bertadarus bersama rakan di masjid selepas berbuka puasa. Kini, sudah seminggu saya berpuasa di Kuala Lumpur, rindu pula suasana di Felda Taib Andak. Insya-Allah saya akan memperuntukkan beberapa hari untuk berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga. Tidak lengkap rasanya jika tidak merasai kemeriahan berpuasa di kampung. Tahun ini saya berpuasa sebagai artis buat pertama kali. Biarpun jadual padat, ia tidak menjadi alasan untuk mengetepikan solat tarawih dan amal ibadat lain. Saya sentiasa mencari ruang menunaikan solat tarawih yang sebati dengan diri. Kalau tidak berjemaah di masjid, saya akan bersembahyang di rumah. Rugi rasanya jika tidak memanfaatkan Ramadan kerana ia hanya datang sekali dalam setahun. Soal juadah berbuka puasa, saya bukan jenis cerewet. Sejak dulu lagi, saya makan apa yang orang sediakan. Lebih-lebih lagi jika air tangan ibu, masaklah apa saja, pasti sedap. Sikap itu terbawa-bawa hingga ke hari ini. Tidak perlu memilih, sebaliknya kita harus bersyukur kerana masih berpeluang menikmati hidangan lazat. Sesungguhnya puasa mengingatkan kita kepada insan yang menderita kelaparan di luar sana. Mereka terpaksa berhempas pulas mencari sesuap makanan demi meneruskan kehidupan. Bercerita mengenai jadual seni, Isnin lalu saya, abang Aznil dan 13 lagi pelajar AF3 berangkat ke Langkawi untuk menjayakan penggambaran program raya Astro yang akan disiarkan menerusi saluran empat Astro pada Aidilfitri. Lima hari empat malam kami menginap di Kampung Tok Senik. Tidak dapat saya gambarkan betapa gembira apabila menjejakkan kaki di Pulau Legenda itu. Lebih menarik, saya dapat berkumpul dengan rakan. Bukan senang kami bertemu kalau tidak ada aktiviti sebegini. Maklumlah masing-masing ada agenda tersendiri, saya pun sebelum ini banyak bergerak secara solo. Memandangkan sudah lama tidak bertemu, macam-macam perkara yang kami bualkan. Pantang ada masa lapang, pasti ada yang buka cerita, buat lawak dan mengusik sesama sendiri. Penggambaran program raya itu mengambil masa lama untuk disiapkan. Siang malam kami bekerja keras hinggalah semua pihak berpuas hati. Selain lagu, program ini menyelitkan sketsa menarik. Ada babak balik kampung, di mana kami terpaksa berdepan pelbagai cabaran, termasuk kereta rosak hingga terpaksa menyewa teksi. Untuk menceriakan lagi suasana raya, ada babak persiapan hari raya, termasuk mengacau dodol, menganyam ketupat, bakar lemang dan mengemas rumah. Suasananya cukup meriah, sekilas pandang betul-betul macam hari raya. Inilah pengalaman pertama saya berlakon, jadi tidak hairan mengapa ia cukup berharga buat saya. Mula-mula kekok juga, maklumlah tidak pernah beraksi di depan lensa kamera. Apatah lagi ramai peminat berkumpul sekitar lokasi penggambaran. Segan juga bila ramai melihat saya berlakon, tetapi lama kelamaan saya dapat membiasakan diri. Penggambaran ini membabitkan banyak lokasi, antaranya Pantai Chenang, Bandar Kuah dan Kampung Tok Senik. Banyak juga destinasi menarik sempat saya dan rakan kunjungi sepanjang di Langkawi. Biarpun atas dasar kerja, tetapi memadailah untuk saya melihat tempat orang. Selain sibuk di lokasi penggambaran, saya berpeluang bersiar-siar di Sandy Beach Resort sejurus selepas solat tarawih. Keindahan pantai dan kedinginan hembusan bayu laut memberi ketenangan kepada saya. Secara tidak langsung, itulah masa paling sesuai untuk saya menghafal dan menjiwai lagu baru yang akan dirakam sebaik tiba di Kuala Lumpur. Dalam pada sibuk di lokasi penggambaran, saya berkesempatan berkunjung ke rumah saudara jauh yang bermastautin di Pantai Chenang. Walaupun terkejar-kejar, saya puas kerana dapat bertemu dan beramah mesra dengan saudara mara. Secara peribadi, saya suka dengan sikap peminat Langkawi. Mereka profesional dan menghormati tenaga produksi yang menjayakan penggambaran. Tidak sekalipun mereka mengganggu kami ketika penggambaran, mereka hanya memandang dari jauh dan akan bertegur sapa dengan kami selepas semua kerja selesai. Sebelum meninggalkan pulau yang popular dengan legenda Mahsuri itu, kami diberi masa enam jam untuk membeli-belah di Bandar Kuah dan bersiar-siar di beberapa destinasi pelancongan menarik, termasuk Padang Mat Sirat. Bermula semalam hingga esok, sebahagian besar masa saya dihabiskan di studio untuk menyiapkan rakaman album sulung yang akan menemui peminat tidak lama lagi. Itulah saja cerita saya minggu ini. Jangan lupa ikuti sambungannya minggu depan. Ingat... world world juga, puasa jangan lupa. Wassalam. Friday, October 07, 2005
Bersama Mawi marhaban di Astro MAWI. PASTI ramai yang tidak sabar mahu melihat Mawi bermarhaban. Bagi Mawi atau Asmawi Ani, 24, marhaban bukanlah perkara baru. Sebagai anak jati Felda Taib Andak, Kulai, Johor, Mawi sudah terdedah dengan aktiviti marhaban sejak usianya 10 tahun. Marhaban yang bermaksud selamat datang dan dilagukan dengan memuji-muji Nabi Muhammad S.A.W (pada perayaan maulud Nabi) seringkali didendangkan secara beramai-ramai. Bagi masyarakat Johor, amalan marhaban sering dilakukan pada majlis perkahwinan, bercukur jambul atau merai Syawal. Jelas Mawi, sejak sekolah rendah dia sudah menganggotai kumpulan marhaban di sekolah dan kampungnya iaitu Kumpulan Nurul Syahadah dan menyertai beberapa pertandingan. ``Dua tahun bersama Nurul Syahadah, saya sempat bermarhaban dari rumah ke rumah terutama menjelang raya. Tidak dikenakan sebarang bayaran kerana amalan begitu sudah dibuat sejak dulu lagi,'' katanya terus terang. Pengalaman bermarhaban itu akan dikongsi Mawi bersama rakan-rakan artis lain seperti kumpulan Mirwana, Firdaus, Zahid, Azizi, Kaer dan ramai lagi menerusi program Marhaban Di Astro dan ia diadakan di empat lokasi. ``Semoga dengan adanya aktiviti begini kami boleh mengajak orang ramai memuji Nabi junjungan Muhammad s.a.w. dan mensyukuri nikmat-Nya. ``Saya sokong sepenuhnya program sebegini kerana ia bertepatan dengan bulan mulia ini,'' kata Mawi ketika dihubungi baru-baru ini. Selain muncul dalam program marhaban, Mawi juga akan tampil sebagai hos untuk program Uniknya Ramadan yang disiarkan sepanjang bulan mulia ini di Astro Ria. Program selama dua minit yang disiarkan dari masa ke semasa di saluran tersebut, memaparkan Mawi di beberapa lokasi. ``Program itu masih lagi dalam penggambaran. Ia memaparkan temu ramah saya dengan orang ramai dan info tentang puasa dan sebagainya,'' katanya yang gembira diberi peluang menjadi hos itu. Pada program Marhaban Di Astro, orang ramai juga berpeluang menonton sketsa berdasarkan cerita yang disampaikan oleh pengacara Wayang Kita, Zainal Alam Kadir. Menurut Pengurus Kanan Bahagian Pemasaran Astro, Molina Musa, cerita dan lakonan yang dipersembahkan pada program marhaban itu, berkisar tentang kisah dan tauladan. ``Sesekali apa salahnya kalau kita melakukan kelainan. Saya yakin aktiviti sebegini dapat memberi satu perspektif baru pada orang ramai. Pada saya program ini baik untuk semua pihak, lagipun kita berada di bulan Ramadan. ``Apa salahnya kalau kita buat sesuatu yang berbeza daripada selalu. Astro yakin menerusi program seperti ini kami dapat mendidik generasi baru, tambahan pula bila Mawi yang menge tengahkannya,'' katanya. Molina juga menolak dakwaan yang mengatakan Astro sengaja mengambil kesem-patan di atas populariti Mawi. Katanya pihak Astro melihat Mawi sebagai artis yang sesuai untuk menjayakan program tersebut bersama artis-artis lain kerana secara dasarnya, pemuda itu sudah terdedah dengan aktiviti marhaban. Jelasnya, selain daripada marhaban, orang ramai juga berpeluang menikmati persembahan nasyid yang disampaikan oleh kumpulan Mirwana dan Firdaus. ``Empat tempat telah dikenal pasti untuk menjayakan acara marhaban ini. Marhaban akan diadakan pada hari kedua pada seiap lokasi. Pada hari pertama, hanya kumpulan Mirwana dan Firdaus sahaja yang akan mengadakan persembahan dan mereka akan bersama Mawi serta rakan-rakan lain menjayakan marhaban pada hari berikutnya,'' jelas Molina. Kata Molina lagi, selain daripada memperkenalkan aktiviti marhaban kepada generasi muda, Astro juga berharap dapat mengumpul lebih ramai lagi pelanggan-pelanggan Astro di kalangan orang Melayu. Tegasnya, sebelum ini pihak Astro telah pun mengadakan kempen seperti Macam-Macam Ada yang menampilkan Pak Cik Abbas sebagai ikon dan Gempak Selebriti. Wednesday, October 05, 2005
Roti Sardin selera berbuka Credit to: HM
Oleh Ellyna Ali KEDATANGAN Ramadan bagi juara Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 24, tahun ini pasti sedikit berbeza dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Masakan tidak, inilah kali pertama anak kepada peneroka Felda Taib Andak, Kulai Johor ini menyambut Ramadan sebagai anak seni. Namun, jika ditanyakan kepada Mawi sendiri, tiada apa yang berbeza dengan Ramadan yang dilaluinya dulu dan sekarang. “Serius, saya memang tidak rasakan apa-apa. Kecuali terikat dengan pelbagai aktiviti seni sepanjang bulan ini,” jawabnya. Jejaka yang menjadi fenomena hampir seluruh masyarakat Malaysia ini juga tidak janggal berjauhan dengan keluarga untuk menyambut Ramadan di perantauan. “Ini bukan kali pertama saya menyambut Ramadan tanpa keluarga. Sebelum ini pun saya sudah biasa melalui keadaan ini. “Pun begitu, saya memang ingin sekali kerap pulang ke kampung sepanjang bulan mulia ini untuk berbuka puasa bersama kedua ibu bapa. “Tengoklah macam mana, jika ada masa terluang saya cuba curi masa pulang berjumpa mereka nanti,” katanya. Mawi juga berkata kalau boleh dia ingin sekali berbuka puasa pada hari pertama Ramadan bersama kedua ibu bapanya. Sayangnya, dia tidak berpeluang berbuat demikian kerana terikat dengan program raya terbitan Astro Ria di Langkawi, Kedah. “Namun, saya tidak berseorangan di sini. Sebaliknya, turut disertai semua rakan AF3 yang lain. Program raya ini memang membabitkan penyertaan kami semua,” katanya. Ditanya sama ada dia akan meluangkan masa bertemu tunangnya, Ina dan bakal keluarga mentuanya, Mawi secara ringkas memberitahu: “Saya masih belum memikirkan mengenai perkara itu lagi.” Di kesempatan ini, Harian Metro cuba mengorek pandangan serta pengertiannya terhadap Ramadan, apa yang sering dilakukannya pada bulan mulia ini dan kenangan menyambut puasa. PENGERTIAN RAMADAN BAGI saya Ramadan adalah bulan yang sangat mulia kerana ia dapat menahan segala nafsu dan perbuatan kita untuk berpuasa. Bulan ini juga turut menguji tahap keimanan dan kesabaran kita dalam menghadapi apa juga ujian, cabaran dan dugaan yang didatangkan Allah kepada kita. Ramadan juga turut memberikan banyak pahala menerusi amal ibadat yang dilakukan umat Islam. Kita seharusnya tidak sahaja menghayati Ramadan semata-mata tetapi mengamalkan ibadatnya. PERKARA SERING DILAKUKAN DULU, sewaktu di Felda, memang saya mengikuti sembahyang Tarawih serta bertadarus di masjid. Tahun ini, mungkin agak sukar berbuat demikian di masjid yang sama. Namun, kegiatan seni yang harus saya lalui sepanjang Ramadan ini turut membabitkan sembahyang Tarawih serta marhaban. Setidak-tidaknya, amalan ini masih tetap berterusan sekalipun saya sudah bergelar anak seni sekarang ini. Sebagaimana orang lain, saya juga punya juadah kegemaran saya sendiri iaitu roti sardin. Sardin memang kegemaran saya dan lebih enak jika roti sardin dapat dinikmati bersama air soya. KENANGAN PUASA SEMUA orang pernah ponteng puasa. Hal itu juga tidak terkecuali sewaktu zaman kanak-kanak dulu. Apabila mandi saya turut minum sama air paip. Ibu bapa saya memang tidak tahu perkara ini. Jika mereka tahu pasti mereka marah. Setiap kali mengenangkan perkara ini, saya pasti tertawa sendiri dan ia juga selalu mengingatkan saya supaya untuk terus berpuasa penuh setiap tahun. 'Dugaan paling hebat adalah pujian' Credit to: BH
Oleh Zul Husni Abdul Hamid Mawi - sekelip mata hidupnya berubah. Dulu tiada siapa yang mempedulikan anak muda ini. Dia hanya menjadi milik keluarga dan mereka yang terdekat di hatinya. HARI ini Mawi bukan lagi Mawi yang dulu. Sudah popular. Dia dijulang, diangkat tinggi oleh peminat hanya kerana bakat yang dimilikinya. Bertuah Mawi, dia ditatang peminat supaya tidak mendadak jatuh. Begitu hebat aura yang dimiliki seorang bintang bernama Mawi ini. Popularitinya membibitkan cemburu artis senior. Siapa tidak cemburu apabila sabaN hari berita mengenai bintang dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor terbentang di dada akhbar? Mawi tidak menggenggam ijazah, tetapi populariti mengundangnya menjejakkan kaki ke gedung ilmu. Dia bercerita, berkongsi panjang pengalaman sedihnya menyaksikan saudara terdekat menghembus nafas terakhir angkara musuh yang merosakkan itu. Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang menjadi saksi anak muda yang mencetus fenomena itu berbicara mengenai dadah menerusi program, Mawi@UPM: Katakan Tidak Kepada Dadah. Agrh... Setakat mana pengetahuan Mawi untuk berdebat mengenai topik berat seperti itu? Barangkali itu pertanyaan yang bermain di benak fikiran sebahagian besar pembaca. Pertanyaan sama juga berlegar sepanjang perjalanan penulis ke UPM, awal minggu lalu. Tetapi, apabila mula bersuara dia bukan Mawi yang seperti dilihat saban malam ketika Akademi Fantasia 3 (AF3) berlangsung. Jangan terlalu pantas menghukum. Baca dulu, lihat Mawi berbicara mengenai kehidupan barunya, dadah serta membongkar sejarah pahit yang pernah menimpa keluarganya. Hip: Bagaimana rasanya dapat menjejakkan kaki ke UPM? Mawi: Macam-macam perasaan, maklum saya tidak pernah masuk mana-mana universiti sebelum ini. Ini pengalaman pertama, rasa ‘gayat’ sikit. Sepanjang perjalanan ke sini, saya berdebar-debar. Tertanya-tanya sendiri kenapa saya yang dipilih, siapalah saya untuk bercakap di depan mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi. Hip: Pernah bercita-cita untuk memasuki universiti? Mawi: Tanyalah kepada semua, pasti jawapannya adalah iya. Tetapi, saya reda dengan ketentuan Tuhan. Tak ada rezeki saya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi. Saya kena realistik, tidak semua yang dicita-cita akan menjadi kenyataan. Mungkin bukan rezeki saya untuk belajar di universiti, tetapi hari ini dapat juga saya menjejak kaki ke universiti. Hip: Apa perasaan dapat berdiri, berkongsi pengalaman dengan penuntut di sini? Mawi: Masa masuk dewan tadi saya terkejut, UPM tak ada pelajar lelaki ke? Semua yang datang adalah pelajar wanita dan kebanyakannya bertudung. Tetapi, pengalaman ini sangat bermakna kepada saya. Hip: Daripada mana datang idea Belia Benci Dadah yang Mawi laungkan pada konsert akhir AF3? Mawi: Idea ini datangnya dari Astro. Saya sebenarnya rasa bertuah kerana dapat membantu menjayakan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Usaha membanteras dadah adalah tanggungjawab semua. Dadah bukan saja dibenci golongan belia, tetapi semua peringkat umur. Terlalu banyak keburukan dan kemusnahan apabila seseorang itu bersahabat dengan dadah. Hip: Mawi rasa layak untuk berbicara mengenai topik ini? Mawi: Apalah yang ada pada Mawi? rasanya saya bukan orang yang layak untuk berkata-kata di sini. Pada mulanya, saya tertanya-tanya juga kenapa saya yang dipilih. Tetapi, saya sedia menerima tawaran ini kerana ia untuk kebaikan. Hip: Mawi yakin pengaruh yang Mawi ada dapat membawa manfaat? Mawi: Kerana itu saya selalu mengingatkan diri. Saya juga punya tanggungjawab kepada masyarakat. Saya cuba melakukan apa yang diamanahkan dengan sebaik mungkin. Saya tidak nampak kalau ada yang berkata populariti saya digunakan. Mawi ini popular ke? Hip: Siapa yang mendorong Mawi sedia berkongsi pengalaman mengenai dadah dengan penuntut di sini? Mawi: Semuanya didorong oleh perasaan tanggungjawab dan kerelaan hati sendiri. Saya dibesarkan di kawasan Felda. Tekanan dan kesempitan hidup, serta tipisnya iman mengheret kepada penularan gejala negatif. Saya tidak nafikan ramai budak Felda yang terjebak dengan dadah. Saya sendiri pernah lihat depan mata, orang menyuntik dadah. Ia cukup membuat saya takut. Hip: Boleh ceritakan pengalaman yang Mawi lalui itu? Mawi: Saudara terdekat saya pernah terbabit dengan dadah. Berkali dia berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan itu tetapi semuanya tidak terlaksana. Apabila tidak mendapat bekalan dadah, badannya menggigil. Pernah dulu selama tiga hari, dia merengkok di rumah, menggigil kerana tiada bekalan. Memang kasihan tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya meminta dia supaya bertahan. Hip: Apa yang berlaku seterusnya? Mawi: Selama tiga hari, bermacam-macam perkara yang berlaku. Dia bercakap seorang diri, melaungkan azan, mengaji dan ada masanya berzanji. Pernah dia minta tolong saya memicit badan dan memijak belakang. Tetapi, baru saja saya meletakkan sebelah kaki di atas badannya, dia sudah meraung. Menjerit kesakitan, saya yang cuba membantu pula kena marah. Dalam tiga hari itu, saya lihat dia merangkak mendapatkan emak dan abah untuk memohon maaf. Betapa mulianya hati ibu dan bapa, biarpun anak itu mengecewakan harapan tidak secebis pun ada dendam di hati mereka. Genap seminggu, dia pergi menghadap Ilahi. Hip: Siapa saudara terdekat itu? Mawi: Cukup jika saya katakan saudara terdekat. Saudara yang tinggal sebumbung dengan saya. Hip: Pernah Mawi dipengaruhi dengan benda itu? Mawi: Ketika bersekolah, saya pernah ditawarkan oleh kawan-kawan dengan sejenis pil khayal. Katanya, boleh membuat kita melayan seronok. Tetapi bukan keseronokan yang dapat, menyusahkan ada. Dalam hati saya berkata, ini tidak boleh. Sudah gila ini. Hip: Apa yang Mawi belajar daripada pengalaman itu? Mawi: Jangan menghina mereka ini. Bukan kehendak mereka untuk menjadi penagih dadah. Apa yang Tuhan jadikan, memang sudah ditentukan. Saya begitu sedih kerana mereka, orang yang tidak bersalah seperti keluarga menjadi mangsa hinaan dan cercaan. Tiada ibu bapa yang mahu anak mereka begitu. Mereka juga tidak mahu dihina. Pinta saya, jangan dibenci atau dihina mereka. Tiada siapa tahu nasib masing-masing, mungkin di sisi Tuhan mereka lebih mulia daripada kita yang tidak menagih ini. Hip: Sedia bekerjasama dengan agensi atau badan berkaitan untuk membanteras masalah ini? Mawi: Kalau sesuai, masa mengizinkan saya bersedia. Mungkin saya tidak banyak ilmu, tetapi dengan pengalaman yang sedikit ini saya sedia berkongsi. Hip: Mawi selesa diberi perhatian? Lihat saja hari ini, lebih 3,000 hadir kerana Mawi. Mawi: Niat awal saya menyertai AF3 hanya untuk kembangkan bakat. Mulanya, saya tidak berminat langsung untuk menyertai uji bakat. Saya ini hanya pemuda kampung. Kalau saya tidak sabar, mungkin saya tidak akan menjadi Mawi yang anda lihat hari ini. Tidak sangka di AF3, ungkapan ‘World’ menjadi ikutan. Saya terkejut, terharu sangat kerana diterima ramai. Macam tidak percaya, ketika mengadakan persembahan di Brunei, baru-baru ini, ada nenek berusia 80 dan 75 tahun datang membawa hadiah. Saya terharu. Kerana itu, saya tidak mahu anggap mereka yang menaikkan saya sebagai peminat. Sebaliknya, mereka semua adalah sahabat. Hip: Hidup sebagai anak seni banyak dugaan. Bagaimana Mawi melihat dugaan itu? Mawi: Dugaan paling kuat ialah pujian. Saya cukup bimbang dengan pujian. Kerana itu saya selalu berkata, sekiranya saya jatuh tolong bangunkan, kalau saya mati tolong kebumikan. Saya berada di sini kerana sokongan semua orang. Kerana sahabat yang tidak pernah jemu melihat Mawi berjaya. Hip: Sudah mampu mengatasi rasa tertekan? Mawi: Mungkin ramai tidak tahu saya pernah dua hari menangis. Saya kenang, fikir semula apa yang saya lalui. Rupanya tidak mudah menjadi anak seni. Sekarang baru saya tahu. Mula dulu saya rasa cukup membebankan. Terlalu tinggi harapan yang diberikan, membuat saya takut dan menangis. Proses untuk menerima perubahan itu saja memakan masa. Lebih seminggu baru saya dapat menyesuaikan diri. Bidang seni kalau tak kuat, boleh jadi gila dibuatnya. Hip: Apabila populariti Mawi turut dipolitikkan, bagaimana Mawi menerima situasi itu? Mawi: Saya hanya penyanyi, menghibur yang mencari makan dengan cara ini. Saya menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan. Tiada niat lain! |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |