|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Monday, July 02, 2007
Dunia Mawi: Bukan singgung
Dunia Mawi: Bukan singgung
duniamawi@hmetro.com.my ASSALAMUALAIKUM dan salam ceria. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada juri dan peminat yang membuka laluan kepada saya untuk terus mara ke peringkat separuh akhir Ikon Malaysia.Tahniah juga diucapkan kepada rakan seperjuangan, Dayang Nurfaizah, Farah (AF2), Jaclyn Victor, Reshmonu, Flop Poppy, Gerhana Ska Cinta, Jinbara, May dan OAG kerana berjaya meneruskan perjuangan.Mengenai kenyataan saya yang berbunyi ‘suara rabak pun layak’, jangan salah faham. Tidak terlintas langsung di fikiran ini untuk menyinggung dan menafikan kredibiliti juri pertandingan ini.Mac Chew, Nadirah Chin Abdullah dan Ramli MS bukan sebarangan. Mereka punya sejarah panjang dalam industri seni negara dan cukup disegani ramai. Mana mungkin saya menafikan kredibiliti mereka. Sebenarnya, pada hari pertandingan peringkat pertama Ikon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PCC), saya ada masalah suara kerana peti suara belum pulih sepenuhnya. Keadaan makin teruk apabila saya demam dan batuk.Suara saya serak. Kalau ikutkan hati, saya mahu tarik diri sebab tidak boleh menyanyi dengan baik. Namun, apabila melihat ramai datang untuk memberi sokongan, saya gagahkan juga keluar menyanyi di pentas. Yang bermain di fikiran saya ketika itu adalah cuba buat yang termampu.Terus-terang, dalam keadaan begitu, saya tidak menyandar harapan tinggi. Saya tidak sangka terpilih dan kerana itu terkeluar kenyataan ‘suara rabak pun layak’. Ia merujuk kepada keadaan saya ketika itu dan bukan bertujuan mempertikai kredibiliti sesiapa.Diharap penjelasan ini memberi gambaran sebenar dan tiada lagi yang salah faham. Untuk konsert akan datang, saya akan membawakan dua lagu iaitu Demi Dia dan Ya Salam.Nantikan kelainan yang bakal saya tonjolkan, di mana susunan muziknya lebih menarik dan penyampaian lebih berjiwa. Moga persembahan kali ini menghiburkan penonton baik di PCC mahupun penonton di rumah.Khamis lalu, saya menjayakan program Berkampung Bersama Mawi di bandar Pusat Jengka, Pahang. Majlis anjuran Hotlink ini merapatkan lagi hubungan saya dengan warga Jengka.Pelbagai aktiviti menarik berlangsung, antaranya perasmian zon Hotlink dan perhentian bas sumbangan Hotlink. Saya juga berkesempatan berkunjung ke rumah Tunas Harapan. Seronok dapat mendekati anak comel yang berteduh di rumah ini. Selain beramah mesra, saya berpeluang menghiburkan hati mereka.Syahdu hati ini melihat riak wajah mereka yang ceria apabila melihat kelibat saya. Ada juga yang segan dan takut-takut untuk mendekati saya. Jauh di sudut hati, saya faham apa yang mereka tanggung dan rasai. Mereka dahagakan kasih sayang dan perhatian orang ramai.Dengan adanya program sebegini, setidak-tidaknya anak kecil ini tahu mereka tidak keseorangan. Ramai menyayangi dan mengambil berat keadaan mereka.Selain itu, turut berlangsung pertandingan futsal dan memasak bersama penduduk di Stadium Mini Bandar Pusat Jengka. Memang meriah, orang ramai memenuhi setiap sudut stadium ini. Sebelah malamnya pula saya menghiburkan penduduk Jengka dengan beberapa lagu popular.Biarpun sekejap, program ini cukup bermakna buat saya. Tidak mungkin saya lupakan kenangan manis bersama warga Jengka yang ‘sporting’ dan baik hati belaka.Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Tanpa kalian, siapalah saya. Insya-Allah, jika ada rezeki kita berjumpa lagi pada masa akan datang.Semalam saya terbang ke Miri, Sarawak untuk memenuhi undangan persembahan Citra Rasa. Sama seperti Jengka, sambutan acara ini juga di luar jangkaan.Ramai menonton persembahan ini. Hati saya tersentuh apabila ada yang turut menyanyi bersama saya. Terima kasih kepada peminat kerana terus setia menyokong dan mempercayai bakat yang ada dalam diri ini. Sesungguhnya kalianlah yang menjadi tulang belakang karier saya, selain keluarga, Mawi FC, Akademi Fantasia, media dan Maestro.Sampai di sini saja coretan saya minggu ini. Insya-Allah saya akan kembali dengan cerita lebih menarik minggu depan.Ceriakan hujung minggu anda dengan aktiviti berfaedah. Jauhi dadah, arak, judi dan gejala sosial yang merosakkan. Sekian, wassalam. Monday, September 25, 2006
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 24 SEPTEMBER 2006)
Dunia Mawi: Puasa tanpa abah
RAMADAN kini menjelma. Selamat mengerjakan ibadat puasa diucapkan kepada umat Islam walau di mana saja anda berada. Sesungguhnya, kemunculan bulan penuh syafaat ini sungguh bermakna buat kita. Inilah masanya kita menguji sejauh mana ketaatan terhadap suruhan Ilahi dalam menahan nafsu lapar, dahaga serta tidak melakukan perkara ditegah agama. Puasa juga mengajar kita menghargai segala rahmat yang diberikan Allah. Dalam masa sama ia menyedarkan kita bagaimana penderitaan yang ditanggung segelintir manusia yang terpaksa berlapar kerana kedaifan, bencana alam sekitar atau peperangan. Diharap kalian memanfaatkan bulan berkat ini dengan amalan mulia termasuk memperbanyakkan bacaan al-Quran dan menunaikan solat tarawih. Sama seperti tahun lalu, jadual saya sepanjang Ramadan ini cukup padat. Selain memenuhi undangan persembahan, boleh dikatakan setiap hari ada saja majlis berbuka puasa yang perlu dihadiri. Bulan ini juga saya sibuk dengan rakaman album terbaru, Idola Yang Tercinta. Album istimewa ini menghimpunkan lagu baru dan lagu lama yang dinyanyikan semula, di mana saya akan berduet dengan penyanyi kegemaran saya seperti Jamal Abdillah, M Nasir, Ramli Sarip, Jay Jay, Ogy Ahmad Daud serta Datin Siti Nurhaliza. Selain itu, saya peruntukkan juga sedikit masa mempromosikan produk Mawi World Sdn Bhd seperti air mineral, kad raya, sampul raya, kemeja-T dan topi. Tahun ini melakar pengalaman baru dalam lipatan hidup saya apabila buat pertama kalinya berpuasa tanpa abah. Terasa sayu yang teramat sangat. Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini, tetapi yang pasti kehilangan abah sangat dirasai. Masih segar di ingatan, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, saya selalu menemani abah membeli juadah berbuka puasa. Kami bergilir-gilir membawa motosikal. Biasanya kami beli murtabak dan kuih-muih. Paling tidak dilupakan, apabila bersahur emak akan mengejutkan anak sementara abah menanti dengan tenang di depan hidangan yang disaji. Kenangan manis itu tidak mungkin berulang lagi kerana abah sudah pergi buat selama-lamanya. Kemungkinan Ramadan kali ini saya tidak berpeluang berbuka puasa dengan keluarga di kampung kerana jadual terlalu padat. Bagaimanapun besar harapan saya jika mereka dapat datang ke Kuala Lumpur kerana hanya dengan cara itu kami dapat berkumpul untuk berbuka dan bersahur bersama-sama. Selasa lalu, Mawi World Sdn Bhd berpindah ke pejabat baru di Taman Desa. Pejabat ini lebih praktikal kerana ruangnya luas. Sehari suntuk saya dan warga kerja Mawi World bergotong-royong membersihkan pejabat baru ini. Walaupun penat, kami puas. Kerja ubah suai masih dilakukan dan insya-Allah akan siap sepenuhnya pertengahan Ramadan ini. Bagaimanapun, urus niaga tetap berjalan seperti biasa, sesiapa yang mahu berurusan dengan Mawi World bolehlah datang ke pejabat baru ini. Alhamdulillah, berkat kerja keras selama ini akhirnya saya ada pejabat sendiri. Hari pertama menghabiskan masa di pejabat ini saya rasa seperti bermimpi. Tidak sangka, kini saya ada pejabat dan perniagaan sendiri. Dengan adanya pejabat baru ini, langkah saya untuk meluaskan perniagaan makin serius. Saya perlu bekerja lebih keras demi memastikan kejayaan terus mengiringi Mawi World. Semua ini saya lakukan demi kebaikan masa depan. Selagi hayat masih ada, saya akan terus bermimpi dan berusaha menjadikannya realiti. Saya percaya, kejayaan tidak datang bergolek dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Berkat kesabaran, usaha, doa yang diiringi tawakal, insya-Allah apa yang kita mahu akan ada dalam genggaman. Sekian, wassalam. |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |