|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Sunday, October 30, 2005
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 30 OKTOBER 2005) Mawi sedia RM 15 000 rai peminat
SESUNGGUHNYA kehadiran Syawal kali ini sungguh bermakna buat anak muda kelahiran Felda Taib Andak ini. Buat julung kalinya, Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini akan menyambut kemeriahan Aidilfitri sebagai artis. Lebih istimewa, Asmawi Ani atau lebih mesra dengan panggilan Mawi akan meraikan kehangatan lebaran bersama peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini dengan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga di padang bola kampung halamannya. “Syukur alhamdullilah,” itulah perkataan keramat yang berulang kali lahir daripada bibir anak muda ini saat mengulas lanjut sambutan Aidilfitri. Tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini akan meraikan hari kemenangan umat Islam ini bersama ratusan atau mungkin ribuan peminat. “Ia bagaikan mimpi. Mungkin inilah yang dikatakan tuah, syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang dan mereka yang menyokong saya selama ini,” katanya memulakan bicara. Sambungnya sambil tersenyum manis: “Rasanya semua sedia maklum, saya akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga. Majlis itu akan berlangsung di padang bola Felda Taib Andak. “Beberapa balai turut dibina bagi memudahkan orang ramai menikmati juadah. Semuanya akan diuruskan oleh orang kampung saya, termasuk soal logistik, makanan dan kawalan keselamatan. “Peruntukan bagi mengadakan majlis itu ialah RM15,000 dan saya sudah menyediakannya. “Kemungkinan besar saya dan rakan AF yang hadir akan mengadakan persembahan bagi memeriahkan suasana malah pentas turut didirikan bagi tujuan itu. “Meskipun mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga, pengalaman banyak mengajar saya supaya bersiap sedia untuk menerima kehadiran tetamu pada hari raya pertama. “Memandangkan rumah saya tidak dapat menampung tetamu yang ramai, saya memasang sebuah balai di depan rumah. Juadah kali ini pun kena lebih berbanding tahun lalu,” katanya yang turut menjemput artis senior ke majlis itu. Bercerita mengenai persiapan raya kali ini, Mawi tanpa berselindung memberitahu, dia menyerahkan RM4,000 kepada keluarganya untuk membeli apa yang dirasakan patut, termasuk langsir, kuih-muih dan juadah istimewa yang bakal dihidangkan kepada tetamu. “Kali ini saya belikan tiga pasang baju kurung dan tudung untuk mak serta tiga pasang baju Melayu buat abah. Saya turut menghadiahkan baju raya kepada adik beradik saya dan keluarga tunang saya, Diana. “Memandangkan jadual sepanjang bulan ini padat, terpaksa saya melakukan persiapan lebih awal. Sebahagiannya saya beli sebelum puasa dan ada juga selepas beberapa hari berpuasa. Bimbang juga kalau dilengah-lengahkan tidak sempat pula,” katanya sambil tertawa. Tambah Mawi, dia tak perlu berhabis membeli baju raya tahun ini kerana pemberian peminat lebih daripada cukup. “Tahun ini saya ada 20 pasang baju Melayu. Semuanya hadiah daripada peminat. Ada yang bagi baju Melayu Teluk Belanga dan Cekak Musang lengkap dengan kain samping dan songkok. Ada juga yang belum berjahit. Macam-macam warna, sampai rambang mata saya untuk memilih yang mana paling sesuai digayakan pada pagi raya. Biarpun saya gemar warna hitam, warna cerah akan jadi pilihan kerana ia lebih bersesuaian dengan keceriaan hari raya. “Lebih istimewa, peminat tidak lupa menghadiahkan baju kepada mak, abah dan adik-beradik saya yang lain. Bergaya sakanlah kami Aidilfitri kali ini,” katanya sambil berulang kali melahirkan ucapan terima kasih kepada peminat yang bermurah hati menghadiahkan keluarganya persalinan raya. |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |