|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Wednesday, August 17, 2005
Mawi - Suka tengok lakonan Rosyam Nor Credit to: UM Oleh ABD. AZIZ ITAR
TERNYATA runtunan hati Mawi untuk menggenggam trofi juara Akademi Fantasia 3 (AF3) dan sekali gus bergelar penyanyi menjadi suatu kenyataan. Perkara itu dapat dilihat apabila Mawi atau Asmawi Ani, 24, dipilih menjuarai AF3 yang berakhir pada 6 Ogos lalu. Anak keturunan campuran Jawa dan Melayu ini, pernah mengetepikan tawaran menjadi bilal sebuah masjid di kampungnya di Felda Bahagia, Taib Andak, Kulai, Johor semata-mata kerana mahu menyertai program realiti televisyen tersebut. Mawi mungkin boleh tersenyum lebar apabila percaturannya untuk memilih menyertai AF3 akhirnya membuahkan hasil. Kemenangan Mawi mengungguli AF3 itu membolehkannya membolot hadiah termasuk sebuah kereta, kondominium, wang tunai, barangan elektrik dan pakej pelancongan yang secara keseluruhannya berjumlah RM327,854. Mega sempat bertemu Mawi baru-baru ini untuk menyelami perasaan serta pengalaman pahit manisnya sebelum dan selepas menyertai AF3. Jika tidak bergelar juara AF3, di manakah agaknya anda sekarang ini? MAWI: Kalau tidak menjadi penyanyi, saya mungkin masih bekerja sebagai deejay di Restoran Bongsu Corner, Lapangan Terbang Senai, Johor. Saya bekerja di situ selama enam bulan sebelum menyertai AF3 pada bulan Jun lepas. Apakah perasaan anda selepas bergelar juara AF3? MAWI: Dua hari saya menangis selepas keluar dari AF3. Saya cuba tidur tetapi mata saya tidak boleh pejam. Ketika itu saya sedar bahawa Tuhan Maha Kaya. Hati saya berkata, ``Kau tunjuk Wi (Mawi), selama ini orang pandang kau macam mana (pandang rendah)''. Dulu saya dan keluarga saya pernah dapat musibah tetapi saya bersabar. Apa pun ini bukanlah rezeki saya seorang. Tetapi ini juga adalah rezeki ibu, bapa dan tunang saya, Ina (bertunang pada Februari lalu). Bagaimana anda melihat diri anda selepas keluar dari AF3? MAWI: Semasa berada di banglo AF3 lagi, saya selalu terfikir mengapa orang minat dengan saya. Sebelum ini, saya tidak pernah cerita tentang perkara itu kepada sesiapapun. Saya kaji dan fikirkan tentang perkara itu hinggalah ke akhir konsert AF3. Selepas AF3 berakhir, saya pun tengoklah Diari AF3. Saya sendiri suka tengok karakter mamat berkepala botak (Mawi) dalam program itu. Saya tidak sangka boleh buat orang ketawa. Dalam banyak-banyak karakter dalam Diari AF3 itu saya paling suka dengan mamat berkepala botak itu juga. Malah, semasa menonton semula konsert-konsert mingguan AF3 saya rasa sebak dan menangis. Pada 23 Ogos ini, anda akan berduet dengan Siti Nurhaliza pada satu konsert, apa perasaan anda? MAWI: Saya rasa terperanjat dan gembira. Mulanya saya tidak percaya kerana siapalah saya hendak berduet dengan Siti Nurhaliza. Dia kan diva. Setakat ini saya belum buat persediaan lagi. Mungkin kami akan berduet dalam sebuah lagu berjudul Pantun Budi. Apa perancangan anda dengan hadiah kondominium dan kereta yang anda menangi selaku juara AF3? MAWI: Saya belum ada apa-apa perancangan lagi. Kunci kereta itu pun belum dapat lagi. Sementara rumah (kondominium) itu pula biarlah ia `diperam' (simpan) dulu. Saya bercadang mahu ajak emak saya tinggal bersama saya (di kondominium) tetapi dia tidak mahu. Sewaktu berada di AF3 media massa membuat pelbagai liputan tentang anda. Adakah anda berpuas hati dengan liputan-liputan tersebut? MAWI: Ada juga berita itu yang membuatkan saya rasa marah. Antaranya ada berita yang mengatakan saya hafal 10 surah al-Quran. Macamlah saya hebat sangat. Saya cuma sempat khatam al-Quran dua kali sahaja. Ceritakan pengalaman anda merakamkan lagu Aduh Saliha. MAWI: Saya rakamkan lagu itu pada 13 Ogos lalu. Rakaman mengambil masa lapan jam. Itu adalah lagu pertama yang saya rakamkan. Ia akan dimuatkan dalam album pertama saya yang akan berada di pasaran Oktober ini. Dengar cerita anda pernah memohon untuk menjadi bilal masjid, betul ke? MAWI: Memang betul. Saya pernah dapat tawaran menjadi bilal di Masjid Jamek Nurul Saadah, Felda Taib Andak. Emak saya memang suka kalau saya jadi bilal masjid. Bagaimanapun, saya tolak tawaran itu kerana terpilih menyertai AF3. Adakah anda rasa keputusan yang anda ambil itu betul? MAWI: Saya rasa hati saya ketika itu lebih kepada AF. Saya memang mahu mencuba menyertai AF. Bagi saya, kalau saya tidak dapat jadi penyanyi, saya masih boleh menjadi bilal. Tetapi kalau saya memilih untuk menjadi bilal terlebih dahulu, saya mungkin susah hendak jadi penyanyi selepas itu. Selepas menyanyi, adakah anda juga mahu mencuba nasib sebagai pelakon? MAWI: Nantilah dulu. Buat masa ini, biarlah saya tumpu pada bidang nyanyian dulu. Kalau dapat peluang berlakon saya suka watak gangster (samseng). Saya suka Rosyam Nor. Saya suka lakonannya. Saya tengok filem Gangster dan Gerak Khas The Movie. Saya suka lakonan Rosyam dalam dua buah filem itu. Siapakah yang anda pilih untuk bercuti bersama anda ke London dan Paris nanti? MAWI: Setakat ini saya belum terfikir lagi tentang perkara itu. Passport pun tak ada. Jangankan London atau Paris, Singapura pun saya belum pernah sampai. Saya cuma dapat tengok Singapura, itu dari Stulang Laut (di Johor). Apa nasihat anda pada peminat anda yang fanatik? MAWI: Saya anggap mereka bukan peminat tetapi penyokong ataupun kawan. Saya rasa geli gunakan istilah peminat. Contohnya, saya geli kalau ada peminat lelaki minat saya. Apa pun saya harap mereka sokong saya sampai mati. Siapakah penyanyi lain yang anda ingin jumpa atau berduet? MAWI: Kalau boleh saya hendak jumpa atau berduet dengan Waheeda. Saya rasa dia (Waheeda) sesuai berduet dengan saya. Bagaimanapun setakat ini, saya belum pernah berjumpa Waheeda. Saya juga minat Yasin (Brothers) tetapi sampai sekarang saya juga belum pernah berjumpa dengannya. Cita-cita asal anda sebelum menyertai AF3? MAWI: Saya mahu jadi deejay radio macam Ismahalil Hamzah. Sampaikan saya terikut-ikut dengan gaya penyampaiannya. Antara kata-kata Ismahalil sewaktu ke udara di radio yang saya ingat ialah `tak Melayu hilang di dunia' dan `dari selatan membawa kawan, dari utara membawa saudara dari timur membawa makmur dan dari barat membawa berkat'. Saya suka dengan rancangan yang dikendalikannya macam rancangan Untuk Penagih yang khusus untuk penagih dadah. Saya juga suka dengan lagu-lagu rock yang disiarkannya macam lagu-lagu Ramli Sarip yang mempunyai unsur-unsur ketuhanan. Saya suka jadi deejay radio sebab saya mahu sampaikan mesej-mesej yang berguna kepada orang ramai. Bagaimanakah anda melihat diri anda? MAWI: Saya sebenarnya seorang yang pendiam. Tetapi sebab orang banyak bertanya pada saya itu sebab saya jadi bising (banyak bercakap). Bagi saya, karakter saya dalam Akademi Fantasia itu adalah diri saya yang sebenarnya. Walaupun pendiam tetapi saya juga boleh buat kelakar. Dalam masa yang sama saya juga seorang yang tegas dan boleh bertukar dua tiga watak dalam satu masa. Akhir sekali, bagaimanakah anda melihat diri anda lima tahun yang akan datang? MAWI: Saya belum dapat bayangkan sebab perjalanan saya sebagai penyanyi masih jauh. Kalau enam bulan dari sekarang saya mungkin penat sebab sibuk dengan pelbagai aktiviti. |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |