|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Monday, August 15, 2005
Mawi meriahkan konsert merdeka Credit to: MM
PERSATUAN Karyawan Malaysia diberi kepercayaan untuk menganjurkan Konsert Merdeka KLCC sempena sambutan hari kemerdekaan negara ke-48. Latar belakang persatuan berkenaan yang kukuh dan profesional dalam mengendalikan banyak acara sebelum ini menarik perhatian pihak penganjur untuk menyerahkan tugas pengendalian konsert berkenaan kepada Karyawan untuk tahun ini. Karyawan sebelum ini pernah beberapa kali mengendalikan acara nasional termasuk dengan tujuan amal kepada artis-artis veteran. Menurut Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, acara sambutan hari kemerdekaan di KLCC kali ini akan diberi nafas baru. Tumpuan utama Karyawan dalam Konsert Merdeka KLCC ini adalah dengan menyelitkan lebih banyak segmen yang ada kaitan ke arah memupuk perasaan sayangkan negara. Perkara ini amat penting bagi menyampaikan mesej peribadi kepada kalangan generasi baru supaya menghargai nilai kemerdekaan yang telah diwariskan oleh generasi terdahulu. ``Kita bukan sahaja beri hiburan, tetapi lebih penting, memaknakan lagi kemerdekaan itu sendiri. ``Setiap tahun kita sambut 31 Ogos dengan penuh gemilang dan tahun ini kegemilangan itu kita teruskan tetapi dengan jiwa yang lebih terisi,'' kata Freddie. Menurut Freddie lagi, justeru Karyawan memilih untuk menggabungkan artis baru dan lama untuk menyerikan acara yang mereka sifatkan sangat bermakna ini. Karyawan juga akan memastikan acara hiburan yang dipersembahkan oleh setiap artis bukan hiburan kosong, jauh sekali berbentuk mempromosikan album rakaman mereka. Setiap lagu yang dipilih mempunyai tema yang dekat dengan penghayatan orang ramai terhadap memaknakan kemerdekaan itu sendiri antaranya Malaysia Baru, Pang Yau, Hatinya Tak Tahan, Ayuh Juragan, Intifada, dan Joget Malaysia. Sudah pasti lagu Negaraku, Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia akan bergegar pada konsert yang cukup gemilang ini. Konsert yang akan berlangsung di KLCC selama hampir tiga jam ini diacarakan oleh pelakon nombor satu, Rosyam Nor dengan banyak artis popular yang diundang khas menyerikan acara ini. Antara artis yang terlibat ialah Farah AF2, Roy, Helmi The Gimmick, Anuar Zain, Afdlin Shauki, Zaibo, Yusni Jaafar, Noraniza Idris, Leonard Tan, Zainal Abidin, Joey, Rahim Maarof dan Amy Search. Juga tidak ketinggalan bintang baru yang makin bersinar dari Akademi Fantasia 3, Marsha dan Mawi. Pengacara, Rosyam Nor juga dipertanggungjawabkan untuk mendeklamasikan sebuah puisi patriotik yang pasti akan menyentap perasaan setiap warga Malaysia yang menyaksikan acara berkenaan. |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |