|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Monday, August 15, 2005
Mawi ubah persepsi AF3
Credit to: MM
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN Wajahnya yang redup, sikap malu-malu dan sedikit ``lurus bendul'' menjadikan dia istimewa pada malam itu. Satu Malaysia tiba-tiba jatuh cinta kepadanya. Yang tua sayang sebagai anak atau `menantu impian' manakala yang muda menganggap dia idola baru. Tidak kurang gadis-gadis manis yang mengharap dambaannya meskipun tahu pemilik nama penuh Asmawi Ani, 24 tahun ini sudah mempunyai pilihan hati. Kita berbicara tentang Mawi - juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) yang hadirnya bersama fenomena yang luar biasa. Ketika AF3 berhadapan dengan kritikan pihak yang mempertikaikan ketelusan sebuah pertandingan berkonsepkan realiti, Mawi dianggap sebagai penyelamat. Imej warak bekas bilal dengan mesej propaganda `Belia Benci Dadah' yang dilaungkan sebelum persembahan di konsert akhir, menjadikan Mawi sebagai idola remaja yang seusia dengannya. Meminjam kata-kata pelakon Adlin Aman Ramli, ``Mawi istimewa kerana dia membawa karakter orang susah, datang dari kampung dan mahukan kejayaan besar dalam hidup. Impian Mawi adalah impian semua orang susah.'' Justeru apabila dia dipilih sebagai juara AF3, Mawi lahir sebagai ikon baru kepada dunia hiburan. Ketika industri hiburan mencari wira baru untuk diangkat, kehadiran Mawi sangat tepat dengan waktunya. Mawi diangkat sebagai juara AF3 pada Sabtu lalu di Stadium Malawati, Shah Alam meninggalkan jauh saingannya Felix, Amylea dan Marsha. Peratusan undian Mawi sebanyak 58 peratus, sementara Felix di tempat kedua dengan 30 peratus, Amylea di tangga ketiga dengan 8 peratus undian dan Marsha paling bawah, 4 peratus. Tetapi keunggulan Mawi bukan bermula ketika dia diumumkan sebagai juara. Kalau tidak jadi juara pun, dia sudah mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia. Ketika AF3 membuka tirainya, Mawi menyelit dengan kelainan apabila mempertaruhkan lagu nasyid - Intifada. Ini satu sejarah baru apabila lagu nasyid diangkat dalam sebuah rancangan realiti popular yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana peserta sebelum ini. Tetapi dia tersingkir dalam konsert Prelude namun desakan peminat Mawi terlalu kuat sehingga dia dimasukkan semula ke dalam AF. Bermula dari situ langkah Mawi gemilang. Meski dikritik hebat oleh pengkritik yang mengadili persembahannya dan rakan-rakan, Mawi terus mara dengan mencatatkan undi yang paling atas. Makin kuat Mawi dikritik, makin terang jalan yang menanti di depannya dan makin buat orang Malaysia sayang kepadanya. Ketika sokongan kepada Mawi bertali arus, ketika itu barulah kita sedar rupa-rupanya dunia hiburan sedang mencari seorang wira baru. Siapa sangka anak peneroka Felda Taib Andak, Kulai Johor ini adalah orangnya. Wira orang Melayu macam dalam filem-filem P. Ramlee datang daripada keluarga orang susah, tinggi ilmu agamanya, lemah lembut, sopan santun dan di dadanya ada keazaman yang cukup kuat untuk merobah perjalanan hidupnya. Seperti wira-wira kita dalam cerita filem P. Ramlee, Mawi mempunyai persamaan itu dan tidak hairan kenapa dia kini berada dalam hati ribuan daripada kita. * Mawi tunjuk jantan Jika minggu-minggu awal dia dikritik hebat, terutamanya pada minggu di mana dia menyanyikan lagu Kekasih Awal dan Akhir dan Beautiful Maria dengan `meleweh', menjelang ke saat akhir Mawi menunjukkan kejantanannya. Tiada lagi kritikan yang panjang lebar daripada pengkritik konsert akhir, Kudsia Kahar, Adlin Aman Ramli dan Syafinaz melainkan pujian semata-mata. Mawi dan Amylea adalah dua peserta yang diberi pujian oleh pengkritik. ``Mawi, awak tak akan malu kalau pulang dengan hadiah besar malam ini,'' kata Syafinaz, memuji. Berbeza sama sekali dengan Felix dan Marsha yang pada awalnya mendapat pujian hebat tetapi dikritik semasa konsert akhir. Apakah Felix dan Marsha selesa dengan puji-pujian yang banyak diberikan kepada mereka sebelum ini? Felix dan Marsha gagal dalam persembahan akhir mereka walaupun konsisten di minggu-minggu awal. Felix melakukan beberapa kesilapan termasuk lupa lirik ketika menyanyikan lagu keduanya, Warkah Berlagu Rindu. Lagu ciptaan Adnan Abu Hassan ini pada satu tahap disampaikan oleh Felix dengan suara yang cukup `seksa' dan menjerit-jerit sehingga ditegur oleh Adlin. ``Saya tahu awak orang kreatif dan banyak idea spontan. Tetapi itu juga yang buat awak kurang berhati-hati semasa di pentas. Kalau awak menang pun bukan sebab persembahan malam ini.'' Syafinaz juga kecewa dengan persembahan Felix dan berkata, ``Tak perlu jerit tinggi-tinggi kalau tak sampai. Saya kecewa malam ini sebab Felix calon terbaik untuk menang.'' Sementara Marsha juga mengecewakan pengkritik. Kudsia memberi komen, ``Ini bukan persembahan terbaik awak.'' Untuk lagu kedua, Untuk Terakhir Kali juga Marsha gagal lagi termasuk lupa lirik dan gagal mengawal emosi. Banyak menganggap Mawi belajar daripada kesilapan. Kritikan membuatkan Mawi bangkit dan mahu membuktikan sesuatu. Apatah lagi dengan sifu M. Nasir yang bijak mencungkil kelebihannya lalu menghadiahkan Aduh Saleha kepadanya di konsert akhir. Sebati benar Mawi dengan Aduh Saleha hingga tak terasa lagu itu pertama kali didendangkan di depan ramai. Aduh Saleha tiba-tiba menjadi begitu intim dengan kita, dan Mawi wajar berterima kasih kepada M. Nasir kerana berjaya mencari `kunci' kekuatannya. * Mana ada konspirasi? Apabila Astro mengambil keputusan tidak menyiarkan peratusan undian di minggu terakhir kepada penonton, ada yang mengaitkannya dengan usaha untuk meleburkan pengaruh Mawi. Sebelum Mawi diangkat sebagai juara, nyata tuduhan liar kepada pihak Astro yang kononnya cuba mewujudkan konspirasi menyingkirkan Mawi dan mengangkat Felix tidak benar sama sekali. Teori konspirasi yang diwujudkan nyata menyimpang jauh kerana kebenarannya terserlah jua. Sebenarnya Astro tak kisah siapa pun yang menang, yang penting penonton mengundi. Tindakan itu dilakukan oleh Astro untuk mencipta kejutan di kalangan penonton. Semenjak Mawi unggul di tempat pertama pada minggu ketiga dan kemudiannya tidak menoleh lagi, Astro memikirkan cara untuk terus memberi suspen kepada penontonnya. Ini cara bijak Astro untuk mengekalkan penontonnya di depan televisyen. * Aznil yang mendebarkan Ketika kaki menapak ke pintu masuk Stadium Malawati Shah Alam, hampir seratus peratus kepercayaan saya dan kawan-kawan wartawan bahawa Mawi akan diumumkan sebagai juara AF3. Bagaimanapun debaran kencang bertamu di dada. Semuanya gara-gara sikap nakal pengacara, Aznil Nawawi yang bijak memainkan emosi penonton. Memang boleh luruh jantung bila mengenangkan semula `skrip' yang dilontarkan oleh Aznil di malam bersejarah itu. Aznil telah mewujudkan unsur suspen sepanjang konsert akhir sehinggakan ada yang percaya, kedudukan Mawi bakal tergugat termasuklah saya sendiri. Beberapa kali Aznil mengingatkan kedudukan genting empat finalis AF3 sekali gus `memaksa' penonton terus mengundi peserta kesayangan mereka. Aznil memang pakar dalam bab mengenakan penonton, tetapi kerana kepakarannya itu juga menjadikan acara ini tidak tawar hambar. Layanan Aznil terhadap keempat-empat peserta akhir juga sama adil. Langsung tidak memberi sebarang bayangan kepada penonton siapakah yang bakal diumumkan sebagai juara. Walaupun saya percaya Aznil sudah tahu mengenai keputusan yang menyebelahi Mawi sedari awal lagi, tetapi dia bijak memendam emosinya dan berlagak biasa, macam tak tahu. Debaran yang sengaja diciptakan oleh Aznil berterusan walaupun selepas Mawi sudah menggenggam dua piala kemenangan melalui Persembahan dan Vokal Terbaik. Pada ketika itu penonton menganggap mungkin rezeki Mawi hanya untuk dua anugerah berkenaan, manakala untuk juara akan menjadi milik Felix. Ketika memegang tangan Felix untuk mengumumkan kedudukannya pun, Aznil masih lagi berteka-teki. Sehinggalah ``tahniah Felix, anda naib juara,'' barulah seluruh Stadium Malawati kembali bergegar. Kali ini tepukan gemuruh berpanjangan dan sudah tentunya untuk wira baru yang diraikan - Mawi. |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |