|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Sunday, November 06, 2005
Salam Syawal Siti & Mawi Manis sungguh Siti Nurhaliza bergaya pada pagi Aidilfitri. Mawi pula kelihatan segak dan bergaya biarpun nampak agak malu-malu. Maklumlah ini pertama kali beliau menyambut Aidilfitri sebagai selebriti. Kedua-dua bintang popular ini berkongsi cerita Syawal dengan pembaca Hip MASIH terbayang di ingatan Siti Nurhaliza Tarudin saat menyambut lebaran di Makkah, tiga tahun lalu. Mungkin tidak seindah Aidilfitri di negara sendiri, namun tetap punya keistimewaannya. Sembilan hari sepanjang Ramadan lalu, penyanyi nombor satu negara itu mengabdikan diri di Makkah. Hanya pada 25 Oktober, Siti kembali ke tanah air untuk membuat persediaan menanti kedatangan Aidilfitri. Memang awalnya tersimpan niat di hati menyambut 1 Syawal bersama umat Islam lain di Tanah Suci. Namun, impian murni itu tidak tercapai lantaran Siti masih perlu memenuhi komitmen yang sudah dipersetujui awal. Merenung raut wajahnya yang tenang, terdetik di hati betapa ketenangan setia memeluk dirinya sekembali dari mengerjakan umrah. Sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci, hatinya rawan diasak gosip tidak berkesudahan. “Alhamdulillah, Siti dapat menyempurnakan ibadat tanpa sebarang halangan. Semuanya berjalan lancar dan sempurna. Gembira hati Siti apabila diberi Tuhan kesempatan mencium Hajar al-Aswad. “Kenangan mengerjakan umrah kali ini terlalu manis,” imbas Siti, senyuman manis sentiasa mengiringi tatkala pertemuan bersama Hip, tiga hari selepas kembali dari Makkah. Tiga tahun lalu, ketika pertama kali mengerjakan ibadah itu, Siti ditemani ibunya, Siti Salmah Bachik dan beberapa anggota keluarganya yang lain mengambil keputusan untuk meraikan Aidilfitri di sana. Suasana 1 Syawal di sana walaupun tidak semeriah di negara sendiri, tetap menyimpan kenangan yang indah di hati penyanyi bersuara emas ini. Gema alunan takbir yang syahdu dilaungkan begitu menusuk hati. “Siti bersyukur kerana dipilih melalui pengalaman indah itu. Aidilfitri di Makkah sedikit berbeza, tetapi tetap ada keseronokannya. Aidilfitri di Tanah Suci tidak semeriah di negara sendiri. “Selepas solat sunat Aidilfitri, suasana mulai sunyi. Ketika itu, hati Siti mula digamit rindu. Teringat ayah yang tidak dapat bersama kami saat itu. Namun, Siti kuatkan hati kerana Siti ke sana untuk beribadah. Kesedihan itu, bagaimanapun terubat apabila dapat meraikannya bersama jemaah tempatan yang lain. Melihat emak di sisi memberi ketenangan yang tidak terhitung nilainya,” katanya. Mawi cadang rumah terbuka tiga raya Oleh Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Mohd Sallehuddin MAWI: Bakal kongsi kegembiraan lebaran bersama peminat. Persiapan bagi mengadakan rumah terbuka khas buat peminat akan diadakan di Astaka Padang Awam Felda Taib Andak itu diserahkan kepada ahli keluarga dan rakan rapatnya SUASANA dan sambutan Aidilfitri kali ini pastinya berbeza sejak dirinya mula dikenali serta pergerakan yang sering menjadi perhatian. Jika tahun-tahun sebelumnya, kemeriahan Syawal hanya dikongsi bersama sanak-saudara dan sahabat handai. Kini Mawi perlu akur dengan fenomena tsumawi yang masih tidak henti-henti melanda. Jauh sekali perbezaan hidup anak jati Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini. Dia sedar peminat terlalu bererti buat dirinya, tanpa sokongan peminat yang rela menghabiskan wang ringgit mungkin nasibnya tidak akan sebaik kini yang dilamar pelbagai syarikat gergasi menjadi duta produk. Lantaran menyedari dirinya milik masyarakat, Mawi akan meraikan lebaran bersama peminat bagi berkongsi kegembiraan juga lambang terima kasih buat peminat tercinta. Selain itu majlis yang dijadualkan berlangsung pada hari raya ketiga itu diadakan sebagai mengubati kekecewaan peminat ketika kepulangannya lewat Ogos lalu yang hanya dapat meluangkan masa selama 15 minit saja. Persiapan bagi mengadakan rumah terbuka khas buat peminat akan diadakan di Astaka Padang Awam Felda Taib Andak itu diserahkan kepada ahli keluarga dan rakan rapatnya di kampung untuk menguruskannya kerana dia sendiri tidak mampu melakukan gara-gara jadual tugas yang terlalu ketat. Jauh di benak hati Mawi sebenarnya tersimpan keinginan untuk bersama-sama jiran sekampung bergotong-royong menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada peminat yang datang. Dia terlalu merindui saat bekerjasama dan gurau sendanya bersama rakan-rakan sekampung. Apakan daya tugas adalah keutamaannya kini. Mawi pulang ke kampung halamannya Selasa lalu dan dijangka menghabiskan masa di kampung selama lima hari. Sebagai anak seni yang sering sibuk, cuti selama seminggu yang diberikan pihak pengurusannya sudah memadai. Tika ditanya, tidakkah dia berasa terganggu dengan kunjungan peminat yang pastinya tidak henti-henti akan menyerbu rumahnya nanti, Mawi tanpa berselindung berbesar hati dengan kunjungan mereka. “Saya sudah bersedia menerima kunjung peminat malah sudah mengagak rumah kecil kami sekeluarga akan diserbu. Biarpun majlis rumah terbuka diadakan di padang, saya tidak kisah jika ada peminat yang datang berkunjung ke rumah. “Mereka tetamu saya, siapa saja yang datang akan saya layan sebaiknya. Apa yang ada akan saya hidangkan. Saya ingin meminta maaf terlebih dulu kepada peminat sekiranya saya tidak terlayan mereka pada rumah terbuka itu nanti,” katanya. Marhaban pagi raya MENJADI rutin setiap tahun, setelah selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri Mawi bersama penduduk kampung akan bermarhaban dari rumah ke rumah. Setiap tahun hampir 30 rumah akan dikunjungi mereka. Aktiviti itu mungkin tidak dapat dilakukannya lagi tahun ini, namun jika ada permintaan penduduk kampung Mawi akan cuba melakukannya. Bercerita mengenai persiapan raya pula, meskipun rezekinya amat murah tahun ini Mawi tetap mengamalkan sikap bersederhana. Apatah lagi baju raya tahun ini tidak perlu dibelinya, dia hanya akan memakai baju pemberian peminat. “Tahun ini saya tidak perlu susah-susah membeli baju raya kerana dihadiahkan peminat. Macam-macam baju yang saya terima ada yang sudah siap berjahit, ada baju Melayu Johor dan Teluk Belanga. “Malah ibu bapa saya juga tidak ketinggalan turut menerima banyak pakaian yang boleh dipakai pada hari raya nanti. Untuk persiapan seperti kuih raya dan langsir rumah saya hanya serahkan duit kepada kakak untuk uruskan segala-galanya,” katanya. Pakaian Mawi: Amin Jauhary Aksesori: Habib Jewels |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |