|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Monday, December 26, 2005
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 25 DISEMBER 2005)
Credit to:
Dunia Mawi: Sambut 2006 di Brunei TINGGAL beberapa hari saja lagi 2005 akan melabuhkan tirai kerana memberi laluan pada 2006 yang bakal melakar 1,001 peristiwa dan kenangan dalam lipatan sejarah setiap insan. Tahun 2005 cukup bermakna, malah tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan ia tahun paling bersejarah buat saya. Selepas dinobatkan sebagai juara AF3, kehidupan saya berubah secara drastik. Sesungguhnya ia di luar dugaan, tetapi saya percaya dengan rezeki dan akan menggandakan usaha supaya karier saya terus berkembang. Tiada istilah noktah selagi direstui-Nya, keluarga dan peminat. Impian saya untuk merakam album sulung sejak dalam AF3 sudah dilunaskan, malah lebih menggembirakan penjualan album itu mencecah lebih 110,000 unit. Syukur alhamdulillah atas rahmat dan rezeki yang dikurniakan Ilahi. Namun, niat menghantar orang tua mengerjakan umrah belum tercapai dan terpaksa saya tunda ke tahun depan. Ia akan jadi sebahagian daripada azam saya untuk 2006. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan selamat tahun baru kepada penaja yang menjadikan saya jurucakap produk mereka. Terima kasih kerana menghargai bakat serta memberi sepenuh kepercayaan kepada saya. Dalam pada teruja menyambut kehadiran 2006, hati saya tersentuh dengan musibah yang menimpa sebahagian penduduk di Utara dan Pantai Timur tanah air yang menjadi mangsa banjir yang diklasifikasikan sebagai paling buruk dalam tempoh 30 tahun. Lebih menyedihkan, tragedi tidak diundang itu menyebabkan ribuan mangsa banjir kehilangan harta benda dan tempat berteduh. Saya berharap mereka yang terbabit dengan malapetaka ini banyak-banyak bersabar. Bertawakal dan anggap semua ini ujian daripada Dia Yang Maha Berkuasa. Sesungguhnya setiap apa yang berlaku pasti ada cerita di sebaliknya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Justeru, saya akan menyokong apa saja bentuk usaha yang bertujuan membantu mangsa banjir. Jika ada undangan mengadakan persembahan konsert, saya tidak akan menolak kerana itu sebahagian tanggungjawab saya sebagai penyanyi. Selain wang, ini antara cara yang dapat disumbangkan oleh anak seni bagi meringankan beban mangsa bencana. Sebaik pulang dari Jakarta, saya sibuk memenuhi undangan persembahan sekitar Kuala Lumpur. Dalam pada itu, saya melakukan persiapan untuk berentap di peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu di TV3. Selain berusaha memantapkan suara, saya turut menitikberatkan gaya persembahan yang menjadi elemen penting dalam pertandingan berprestij ini. Insya-Allah jika ada kesempatan, saya ingin berlatih bersama sifu M Nasir di studionya, Luncai Emas sebelum beraksi di pentas. Esok, saya dan rombongan Maestro akan bertolak ke Brunei kerana terbabit dengan dua persembahan sambutan tahun baru. Difahamkan, kami akan berkampung di sana sehingga 2 Januari. Sebelum konsert menyambut kehadiran 2006, saya akan menghiburkan tetamu dalam satu majlis korporat. Selain saya, Felix dan pelajar wanita AF3 turut serta dalam rombongan ini. Dengan kunjungan ini, bermakna saya akan menyambut tahun baru di negara orang buat pertama kalinya. Pasti ia meninggalkan kenangan istimewa kerana menjadi kelaziman, pengalaman pertama terus dikenang dan tersimpul utuh dalam ingatan. |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |