|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Sunday, November 27, 2005
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 27 NOVEMBER 2005) Dunia Mawi: Ajak kawan berkubang dalam paya
MEMANDANGKAN ramai bertanya bagaimana Asmawi Ani dibesarkan, saya ingin berkongsi pengalaman menarik itu dalam ruangan ini. Sejak kecil saya jenis pendiam. Tidak banyak bercakap, kecuali bertemu rakan sekepala. Bila berkumpul, mulalah timbul macam-macam idea yang ada kalanya tidak masuk akal. Alah... zaman kanak-kanak, mana boleh duduk diam. Antara permainan kegemaran saya dan rakan ialah sembunyi ibu, badminton dan sepak takraw. Biasanya saya keluar bermain selepas jam 5 petang dan balik rumah sebelum Maghrib. Kalau nak tahu, saya kuat merayau. Pantang ada peluang, saya mesti singgah di rumah kawan. Selalu juga emak marah-marah. Apa tidaknya, kadangkala sampai ke petang saya masih melepak di rumah kawan. Pernah beberapa kali emak mencari saya dari rumah ke rumah. Bila sudah jumpa, emak pasti paksa saya pulang bersamanya. Satu lagi kenangan yang masih melekat di ingatan sehingga kini, saya dan rakan suka berkubang dalam paya. Kami bergotong-royong membuat empangan menggunakan plastik baja. Bila air naik, kami akan mandi beramai-ramai. Habis badan penuh dengan lumpur. Bila balik rumah emak, abah mesti marah. Namun apa boleh buat, kanak-kanak... hari ini kena marah, esok buat lagi. Mana pernah serik. Paling tidak boleh dilupakan ialah peristiwa dikejar anjing di kawasan kolam ikan toman milik seorang tauke Cina. Saya dan rakan teringin sangat melihat ikan dari dekat. Kami berpakat ke sana. Apabila melintasi pagar, kami dikejutkan dengan salakan seekor anjing. Tanpa diduga, anjing itu meluru ke arah kami. Apa lagi, kami lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri. Nasib baik tiada perkara buruk berlaku. Itulah kali pertama dan terakhir kami ke kolam itu. Untuk pengetahuan peminat, saya dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan agama. Emak tegas orangnya. Jika saya buat kesalahan, dia tidak teragak-agak menegur atau memukul saya. Abah pula jenis yang tenang. Dia banyak menasihati saya, kalau marah pun sekadar memberi teguran dan tidak lebih daripada itu. Biarpun rapat dengan kedua-duanya, saya lebih banyak mengadu dengan abah. Kami banyak menghabiskan masa bersama. Selalu juga abah bawa saya ke kebun dan makan di warung. Hari pertama masuk tadika, saya dihantui rasa bimbang dan takut. Maklumlah pengalaman pertama. Saya minta abah menemani saya. Selepas dua jam menunggu, dia pulang ke rumah tanpa saya sedari. Ramai juga kawan terbuang air di dalam seluar, kemudian menangis disebabkan malu dan takut dimarahi cikgu. Selepas beberapa hari, saya dapat membiasakan diri. Masih jelas di ingatan, ketika itu rambut saya panjang hingga mencecah bahu. Tadika itu menyediakan tiga guru yang bertanggungjawab mendidik kami. Paling tidak dapat saya lupakan, Cikgu Rohana dan Cikgu Nordah. Cikgu Rohana garang orangnya, manakala Cikgu Nordah penyayang dan lemah lembut. Dalam ramai-ramai, saya lebih rapat dengan Cikgu Nordah sebab dia sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan keadaan anak muridnya. Antara daya tarikan utama membuatkan saya tidak sabar ke tadika setiap hari ialah makanan yang disediakan ketika rehat. Memang sedap, apatah lagi apabila makan beramai-ramai. Boleh dikatakan itulah saat paling menggembirakan saya. Saya suka menyakat kawan. Sekejap tarik seluar dan macam-macam lagi. Kenangan paling istimewa, saya dan rakan menari pom-pom sempena sambutan merdeka. Bangga betul apabila persembahan berwarna-warni itu disaksikan ibu bapa. Cukuplah sampai di sini. Minggu depan kita bersambung dengan pengalaman saya di sekolah rendah dan menengah. Sunday, November 20, 2005
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 20 NOVEMBER 2005)
Dunia Mawi: Tergamak mereka
PERTAMA sekali saya ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat kerana lagu Aduh Saliha ciptaan komposer M Nasir layak ke peringkat akhir acara berprestij Anugerah Juara Lagu 20 (AJL20). Syukur alhamdulillah. Sesungguhnya saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana 12 lagu yang dipertandingkan dalam kategori Irama Malaysia/Etnik Kreatif hebat-hebat belaka. Sebagai penyanyi, saya cuba melakukan yang terbaik ketika pertandingan, soal menang atau kalah saya berserah kepada Ilahi. Saya anggap kejayaan ini sebagai rezeki. Terima kasih saya rakamkan khas buat sifu M Nasir dan Loloq kerana mencipta lagu ini untuk saya. Tidak lupa setinggi-tinggi penghargaan buat barisan juri kerana sudi memilih Aduh Saliha mara ke peringkat seterusnya. Tidak ketinggalan peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya selama ini. Secara peribadi, saya kurang selesa apabila ada pihak berpendapat pemilihan Aduh Saliha adalah disebabkan saya, ingin saya tegaskan di sini, penentuan menang kalah dalam AJL bukan bersandarkan kepada nama atau populariti artis, sebaliknya kerana kekuatan lagu. Itu yang membezakan AJL daripada anugerah lain. Hakikatnya, semua lagu yang dipertandingkan ada keistimewaan tersendiri, baik daripada segi lagu mahupun lirik, namun mungkin sudah rezeki Taat dendangan Rohana Jalil, Semalakama (Zehra Zambri) serta Ayuh Juragan (Noraniza Idris), Aduh Saliha mara ke peringkat akhir. Sebagai pendatang baru, sudah tentu terpilih ke peringkat akhir AJL menjadi memori istimewa buat saya. Seperti saya katakan tadi, soal menang kalah bukan fokus utama kerana semuanya terletak pada rezeki. Yang penting, saya berpeluang menyertai pertandingan ini dan bercampur dengan ramai artis senior. Peluang ini tidak akan saya lepaskan untuk meraih ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin daripada mereka yang lebih dulu mewarnai industri muzik tempatan. Sesungguhnya saya sangat mengagumi dan menghormati mereka. Soal tidak hadir raptai AJL, sebenarnya malam itu saya terikat dengan satu lagi program anjuran Karyawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Syarikat pengurusan mengarahkan saya menghadiri majlis itu dan tempat saya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral digantikan dengan pegawai perhubungan awam Maestro, Along. Sebenarnya gosip mengatakan saya sudah besar kepala tidak benar sama sekali. Memang kalau diberi kesempatan saya ingin sama-sama berada di Sri Pentas 2 tapi apakan daya saya ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Baru-baru ini, berita peletakan jawatan sebahagian ahli jawatankuasa Kelab Sahabat Mawi (Mawi FC) mendapat liputan meluas media cetak. Berikutan laporan itu, ramai ahli kelab keliru, malah ada yang menyangka Mawi FC akan dibubarkan. Hakikatnya, MawiFC tidak akan dibubarkan. Ia akan terus wujud selagi mendapat sokongan orang ramai. Apa yang berlaku adalah peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa, termasuk presiden kelab. Jauh di sudut hati, saya rasa kecewa dan sedih, apatah lagi sidang akhbar tergempar untuk memaklumkan peletakan jawatan itu dilakukan ketika pelancaran album saya. Tergamak mereka mengadakan sidang akhbar itu dalam diam-diam. Tindakan itu jelas menggambarkan mereka tidak menghormati majlis. Sebelum itu, saya dan lebih kurang 20 AJK Mawi FC mengadakan pertemuan di pejabat Maestro bagi menjelaskan kekeruhan yang timbul di antara kami. Dalam pertemuan itu saya memberi ruang kepada semua yang hadir, khususnya ahli jawatankuasa kelab, untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Segalanya berjalan lancar, malah kami sebulat suara untuk buang yang keruh dan ambil yang jernih. Saya tidak ketinggalan memohon maaf seandainya perlakuan atau tindak-tanduk saya mengguris hati mereka. Saya sangkakan semuanya berakhir di situ, rupa-rupanya masih ada yang tidak berpuas hati. Saya tidak faham apa yang mereka (AJK yang meletak jawatan) mahukan daripada saya. Berulang kali mereka katakan kepada pihak media yang saya tidak jujur dan ikhlas terhadap kelab, tidak menunjukkan komitmen, malah tidak berubah walaupun banyak kali ditegur. Persoalannya, apa yang mereka katakan itu terlalu samar. Apa maksud mereka sebenarnya? Selama ini saya tidak pernah meminggirkan program anjuran Mawi FC. Seandainya dijemput, saya pasti datang jika tiada halangan. Macam mana boleh timbul isu saya tidak ikut cakap mereka? Saya kecewa. Tidak dinafikan, sebelum ini pernah timbul salah faham apabila saya tidak dapat memenuhi permintaan mereka yang ada kalanya keterlaluan dengan alasan ingin menjaga imej saya. Mereka tidak bersetuju dengan tindakan saya dan terus memaksa saya menurut kata mereka. Pun begitu, saya tidak pernah merungut atau mengeluh. Sebagai manusia, saya tidak boleh puaskan hati semua pihak. Apa yang berlaku membuka mata saya. Mungkin insiden ini berpunca daripada masalah individu dan bukan kerana kelab. Saya reda dengan apa yang berlaku. Saya tidak boleh berbuat apa-apa, apatah lagi keputusan ini dilakukan mereka sendiri. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada AJK Mawi FC yang banyak menyokong saya selama ini. Saya menghargai pengorbanan mereka dan tidak akan melupakannya selagi bernyawa di bumi Allah ini. Cuma satu harapan saya, jangan besar-besarkan isu ini. Cukuplah... Kepada peminat pula, jangan salah faham dengan apa yang berlaku. Semua itu berlaku di luar kawalan saya. Pelantikan AJK baru akan diadakan esok, jam 3 petang di pejabat Maestro. Sebelum ini saya pernah memberi komen, tiada unsur sabotaj dalam Konsert Semurni Aidilfitri Bersama Mawi di Terengganu, 8 November lalu yang dihadiri kurang daripada 2,000 penonton. Pun begitu, dua hari lalu pihak penganjur konsert berkenaan, Zaizi memaklumkan kepada saya bahawa memang ada sabotaj dan bukan kerana kurang publisiti. Pihak tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk menyebarkan maklumat kononnya konsert berkenaan dibatalkan. Antaranya berbunyi: Konsert Semurni Aidilfitri Bersama Mawi dibatalkan atas sebab tertentu. Ramai berpatah balik selepas SMS itu tersebar. Soal kurang promosi tidak harus timbul kerana pihak penganjur menyediakan 15,000 poster dan kain rentang serta mengedarkannya di seluruh negeri itu tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja menanggalkan poster dan kain rentang berkenaan. Hasil tindakan tidak bermoral itu, pihak penganjur mengalami kerugian lebih RM100,000. Sehingga kini saya tidak tahu siapakah dalang sebenar dan apakah motif mereka. Harapnya perkara sebegini tidak berulang pada masa depan. Wednesday, November 16, 2005
Aduh Saliha ke akhir Credit to: BH - 16/11/2005
SHAH ALAM: Lagu Aduh Saliha nyanyian juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi mengiringi tiga lagu lain untuk mara ke Anugerah Juara Lagu Ke-20 (AJL20) bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif. Lagu sentuhan M Nasir manakala lirik oleh Rosli Khamis atau Loloq terpilih pada pertandingan Muzik Muzik 20 Separuh Akhir yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, petang semalam. Ia penyertaan pertama Mawi dalam acara tahunan berprestij yang mengiktiraf penggiat industri tempatan terutama komposer, penulis lirik dan penggubah lagu. Selain itu, AJL memberi peluang kepada penyanyi baru untuk mengembangkan bakat mereka. Mawi yang ditemui pada sidang media selepas selesai pertandingan bersyukur dengan pemilihan Aduh Saliha memandangkan saingan kategori itu cukup sengit, terutama daripada penyanyi berpengalaman. “Saya tidak meletak harapan tinggi dan cuba melakukan yang terbaik untuk tidak menghampakan komposer dan penulis lirik lagu itu. Daripada awal lagi saya berkata, semuanya bergantung kepada rezeki. “Alhamdulillah, Aduh Saliha berjaya menambat hati juri profesional dan saya berterima kasih kerana menilai kekuatan yang ada pada lagu ini,” katanya. Turut mengiringi Aduh Saliha ke AJL20, lagu Taat karya Rosli Md Kasa dan lirik oleh Tok Wan nyanyian Rohana Jalil, selain Ayuh Juragan ciptaan dan nyanyian Noraniza Idris manakala lirik oleh Fedtri Yahya. Juga layak lagu Semalakama nyanyian bakat baru, Zehra Zambri sentuhan Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan lirik Mohd Kamarulzaman (Ce’ Kem). Persaingan separuh akhir Muzik Muzik 20 menyaksikan 36 lagu terpilih mewakili tiga kategori iaitu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Balada serta Pop Rock. Bagaimanapun, hanya empat terbaik bagi setiap kategori terpilih untuk ke acara kemuncak, AJL20 yang akan berlangsung 15 Januari depan. Panel juri terdiri daripada komposer dan penulis lirik berpengalaman iaitu Khairil Johari Johar, Zubir Ali, A Ali, Lukhman S manakala Ooi Eow Jin bertindak sebagai ketua juri. Lapan lagu lain yang bertanding bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif adalah Joget Manis Musim Bercinta ciptaan S Atan dan lirik Siso, nyanyian Nas Adila, Dendang Sahutan (To’Ki/To’Ki & Andy Flop Poppy) dan Benang Emas (Eddie Hamid/Ku Seman Ku Hussein/Achik & Siti Nordiana). Turut layak lagu Senang Tari (Farihin Abdul Fatah/Ain & Alia Elkin/Ning Baizura), Gurindam Sang Puteri (Pak Ngah/Siso/Syazliana), Binafsha (Trabye/Waheeda), Goyang Habibi (Cat Farish/Ruffedge) dan Nurul Ain (Adnan Abu Hassan/Faris/Rayna Hairina). Tuesday, November 15, 2005
Tiada istilah ‘cincai’ dalam Mawi.... Yang Tercinta Credit to: HIP - BH - 15/11/2005 Oleh Nurulhisham Abdul Latiff ALBUM terbaik! Mungkin agak keterlaluan, tetapi itulah beberapa ungkapan yang mampu diringkaskan setelah wartawan Hip mendengar CD master album Mawi ...Yang Tercinta, yang akan dilancarkan esok. Sebagai wakil media pertama diberikan peluang mendengar lapan lagu yang sudah siap sepenuhnya, petikan album studio pertama juara Akademi Fantasia 3 itu, berasa juga bangga di dada. Lebih membanggakan kerana hasil tangan sifu M Nasir, Fauzi Marzuki, Yasin dan Ajai amat bermutu dan memuaskan telinga. Paling tidak, inilah antara album paling berkualiti daripada syarikat rakaman tempatan yang diterbitkan sepanjang tahun 2005. Jarang sekali kita terdedah kepada sebuah album yang memuatkan lagu yang kesemuanya sedap didengar. Namun, lain sekali dengan Yang Tercinta apabila daripada trek pertama, Kian, sehinggalah trek terakhir, Yang Tercinta, semuanya berada pada kelas atas mutu penghasilannya. Sifu sendiri bagai menganggap album ini seperti album dirinya sendiri kerana kualiti lagu dan bunyi yang dihidangkan cukup enak pada pendengaran, bak album Saudagar Mimpi dan Canggung Mendonan. Muziknya padat, pelbagai dan begitu diperincikan. Setiap bunyian kecil jelas kedengaran, yang menambahkan kekayaan album berkenaan. Maknanya, tiada istilah cincai dalam pembikinan. Setiap penerbit nyata memberikan kerja terbaik mereka ketika penghasilan. Mahukan sentuhan nasyid, padang pasir, rock dan a-go-go? Segala-galanya terkandung dalam album Mawi. Persembahan vokal? Jangan risau, kerana Mawi masih mengekalkan lenggok mahalnya. Penyanyi ini juga tetap tegar dengan suara ketat dan jantan miliknya. Pujian juga harus diberikan kepada anak muda Felda Taib Andak ini kerana bisa menyanyikan irama yang mencabar. Selain ciptaan M Nasir, album ini turut memuatkan lagu daripada Yasin, berjudul Cinta Hakiki. Ia meneruskan usaha pencipta muda itu memperkenalkan elemen Arab dengan aliran pop Melayu melalui penyampaian Mawi yang mendayu. Ajai pula meneruskan elemen muzik sejagat (atau World Music) melalui lagu Kurniaan Tuhan. Cukup kuat unsur nasyid dalam irama ini, yang muziknya mendapat sentuhan rock. Komposer veteran, Fauzi Marzuki menampilkan lagu berjudul Kian yang bakal mengimbas kembali kehebatan dan kesyahduan lagu malar hijau ciptaannya sebelum ini, Kekasih Awal Dan Akhir. Penyampaian Mawi untuk lagu ini membuktikan dirinya antara penyanyi versatile yang bakal mewarnai dunia muzik tempatan dan bukan sekadar bertahan untuk satu atau dua album. M Nasir sendiri menyumbangkan lima lagu, termasuk single pertama Aduh Saliha. Lagu lain ialah Perempuan, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Di Pintumu dan Yang Tercinta. Jika elemen Arab dan pop tradisional Melayu diketengahkan komposer terkenal ini menerusi lagu Perempuan dan Di Pintumu, Lagu Jiwa Lagu Cinta yang juga single kedua dan diputarkan di stesen radio Era membawa konsep pop a-go-go. Istimewanya, lagu berkenaan menggandingkan dua vokal lama baru, M Nasir dan Mawi, yang menghiburkan. Duet terbabit dikatakan berlaku secara spontan apabila penyampaian Mawi membuat gurunya itu tergerak untuk menyumbangkan suara bagi lagu berkenaan. Hasilnya membanggakan dan tidak mustahil lagu ini melebarkan lagi penguasaan juara AF3 itu dalam carta lagu popular tempatan. Sementara Yang Tercinta, lagu yang diangkat sebagai judul album, memaparkan lirik dan sentuhan yang menyentuh topik kemanusiaan manusia sejagat dalam menghadapi cabaran dan rintangan untuk mencari keadilan dan keamanan, baik dari segi persekitaran mahupun secara spiritual. Album ini pada awalnya dijangka menjengah pasaran pada 25 Oktober lalu. Namun, berikutan matlamat syarikat rakaman Maestro Records dan penerbit yang mahukan ia menjadi khazanah tidak dilupakan, maka Yang Tercinta ditangguhkan pengedaran. Akhirnya ia menemui peminat pada 16 November. M Nasir yang berperanan sebagai peneraju konsep dan arah tuju A&R keseluruhan album ini berpendapat, dia perlu mengambil sedikit masa tambahan bagi memastikan album ini muncul dengan visi muzik yang seadanya dari hati sanubari Mawi sebagai penyanyi, dan dirinya, Yasin, Ajai serta Fauzi sebagai karyawan seni. Album ini juga membawa mesej kemanusiaan sejagat yang menyentuh setiap individu berhubung hal yang tersirat di hati, hinggalah ke persoalan dunia dan akhirat. Dengan itu juga judul album bertukar dari tajuk asal Aduh Saliha kepada Mawi …Yang Tercinta. Tajuk ini dipilih berdasarkan peranan Mawi dalam album ini - penyampai maklumat yang menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang penghibur yang menggunakan bakat nyanyian suaranya, bagi menarik perhatian umum untuk berhibur sambil berfikir bersamanya. FAKTA: Album Mawi …Yang Tercinta * Pesanan cetakan pertama untuk album ini mencecah angka 53,000 unit dengan 58 peratus (31,000 unit) daripada jumlah itu adalah untuk CD dan selebihnya iaitu 22,000 unit adalah kaset. Ini bermakna, pada hari pertama berada di pasaran album Yang Tercinta berhak menerima anugerah platinum berkembar (bagi penjualan melebihi 50,000 unit). * Terkini, koleksi anugerah dari segi penjualan album Mawi ialah anugerah platinum berkembar enam (penjualan melebihi 150,000 unit) untuk Best Of Mawi World dan platinum untuk Best Of Mawi World Versi MTV Karaoke. * Lagu Aduh Saliha pula menduduki tangga pertama di setiap carta seluruh tanah air dan meneruskan fenomena Mawi di corong radio. Apa yang memberangsangkan ialah keupayaan lagu terbabit menduduki carta nombor satu Muzik Muzik TV3 pada minggu pertama sejak 6 Oktober lalu dan akan dipertandingkan pada Separuh Akhir Juara Lagu TV3 2005 esok. Monday, November 07, 2005
Edisi Nasional : Mawi, Felda Taib Andak sama popular Credit to: HM - 7/11/2005
Oleh Mohd Ramzi Sanny ASMAWI Ani atau Mawi, anak kelahiran Kampung Bahagia Felda Taib Andak, Kulai kini menjadi satu nama besar di negara kita. Beliau muncul sebagai bintang yang sekelip mata menjadi idola dan pujaan jutaan peminatnya. Mawi kini bukan lagi orang biasa tetapi kehidupannya bertukar sebagai seorang artis yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Beliau kini bukan saja milik keluarganya bahkan milik masyarakat khususnya peminat yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaannya. Kejayaan yang diraih anak Felda ini dalam Akademi Fantasia 3 (AF3) bagaikan mimpi. Tiada siapa menduga dia menjadi bintang terkenal dan kini menjadi artis paling popular. Justeru, sebagai tanda terima kasihnya kepada penyokong dan peminat, beliau mengadakan rumah terbuka di tanah kelahirannya di Felda Taib Andak, Sabtu lalu. Lantaran kepopularan Mawi, Felda Taib Andak yang sudah diterokai lebih 50 tahun lalu turut mendapat tempiasnya. Nama Felda Taib Andak yang pernah menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail kini turut popular di seluruh tanah air. Manakan tidak, semata-mata kerana Mawi ribuan peminat dari seluruh negara sudah bertandang ke Felda itu. Sejak Mawi menjuarai AF3, rumah keluarga Mawi sering dikunjungi peminatnya. Ribuan peminat menyerbu ke kenduri kesyukuran kejayaan Mawi pada 15 Ogos lalu. Begitu juga yang terbaru pada hari raya ketiga Sabtu lalu, sekali lagi Felda Taib Andak dibanjiri manusia yang datang dari seluruh pelosok tanah air. Aura Mawi menggamit kehadiran peminat untuk bertandang ke kampung kelahirannya itu. Felda Taib Andak yang sebelum ini sunyi dan tenang, hanya sesekali dikaitkan dengan berita masalah sosial, kini bertukar menjadi tumpuan masyarakat kerana ia kampung Mawi. Maka Aidilfitri tahun 1426 Hijrah ini menyaksikan perubahan suasana menyambut hari raya di Felda berkenaan. Mulai tahun ini dan mungkin seterusnya pasti Felda Taib Andak menjadi tumpuan pada setiap kali Aidilfiri. Juga kerana Mawi. Peminat yang terlalu sayangkan Mawi sanggup datang dari jauh, berkorban masa dan wang ringgit berkunjung ke rumah penyanyi popular itu untuk melihat bagaimana keluarga Mawi berhari raya. Kawan dimaklumkan rakan setugas di RTM, Saipul Nizam Saimon yang juga jiran dan teman persekolahan Mawi, bahawa ramai peminat menyerbu rumah Mawi pada hari raya pertama. Bahkan ada yang hanya datang untuk melihat bumbung dan rumah Mawi sahaja sudah cukup memuaskan hati. Saipul berkongsi cerita dengan kawan betapa Aidilfitri di Felda Tain Andak tahun ini begitu meriah dan ceria. Katanya, Mawi tetap meneruskan tradisi bermarhaban bersama orang kampungnya dari rumah ke rumah bagi kawasan Peringkat D Felda itu selepas solat Aidilfitri. “Program marhaban menjadi lebih meriah kerana Mawi sudah menjadi orang terkenal. Justeru setiap kali persinggahan kami di satu-satu rumah akan mengambil masa lama sedikit kerana tuan rumah serta saudara-mara mahu bergambar dengan Mawi,” katanya turut gembira melihat lebih 15,000 peminat Mawi membanjiri kampungnya pada Sabtu lalu. Katanya, kesesakan lalu lintas yang berlaku pada majlis rumah terbuka Mawi kelmarin berlarutan sampai ke malam. Kenderaan keluar masuk ke Felda itu untuk berkongsi kegembiraan Syawal bersama penyanyi pujaan mereka. Cuma kawan berharap program raya besar-besaran yang pertama kali berlaku di Felda itu menjadi pengalaman dan pengajaran supaya penganjuran yang lebih baik serta lancar pada masa depan sekiranya benar program rumah terbuka dan kampung terbuka Aidilfitri Mawi itu menjadi acara tahunan. Sunday, November 06, 2005
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 6 NOVEMBER 2005) Dunia Mawi: ‘Gosip saya ke disko fitnah’
MASIH tidak terlambat rasanya saya melayangkan ucapan Selamat Hari Raya kepada semua muslimin muslimat, khususnya pembaca ruangan ini. Biarpun sudah empat hari kita meraikan Aidilfitri, kehangatannya masih terasa hingga ke hari ini, malah akan berlarutan sebulan. Hari ini saya kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerja seperti biasa. Insya-Allah jika tiada aral, esok saya akan menjayakan persembahan di Terengganu. Selasa pula, saya dijadual menghadiri jamuan raya anjuran kelab peminat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Sepanjang di kampung, saya sibuk melayan tetamu yang bertandang ke rumah dan di rumah terbuka. Dalam pada sibuk itu, saya masih berpeluang berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Pun begitu, tidaklah semua, maklumlah masa terhad. Banyak juga perkara yang ingin saya lakukan tidak dapat dilaksanakan. Sebelum pulang ke kampung, terbayang-bayang di fikiran saya dapat bermain sepak takraw, badminton dan menunggang motosikal yang sememangnya menjadi rutin sejak kecil. Namun apa boleh buat, saya hanya berpeluang menunggang motosikal, hasrat bermain sepak takraw dan badminton bersama rakan tidak kesampaian. Baru-baru ini, timbul gosip kakitangan Maestro membawa seorang pelajar AF3 ke disko. Daripada gambaran gosip itu, ramai menyangkakan pelajar itu adalah saya. Ramai bertanya dan tidak kurang juga mengirimkan SMS kepada saya. Kecoh betul sampaikan keluarga pun bertanya. Terus-terang, saya tidak tahu menahu mengenai gosip itu dan terkejut apabila ramai orang menuding jari ke arah saya. Saya kecewa dan sedih dengan desas-desus itu. Saya tidak pernah ke pusat hiburan dan hairan macam mana gosip itu timbul. Biarpun menceburi dunia glamor, saya tidak pernah berubah. Saya tetap Asmawi Ani yang dulu. Nasihat saya kepada peminat dan orang ramai yang masih berteka-teki di luar sana, jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan gosip sebegini. Kaji terlebih dulu sebelum menerimanya bulat-bulat. Mungkin ini yang dikatakan cabaran anak seni. Biarpun tidak bersalah, orang tetap menabur fitnah. Sebelum mengundur diri, saya ingin menjemput pembaca ruangan ini, khususnya peminat saya, mendaftar sebagai ahli My Konco. My Konco adalah satu sayap kepada My Friend Corner. Idea menubuhkan My Konco datang daripada penyampai radio popular, Isma Halil Hamzah. Matlamat utama penubuhan My Konco ialah menyatupadukan orang Jawa dan Melayu seluruh negara. My Konco akan menganjurkan pelbagai program menarik, termasuk motivasi untuk remaja. Baru-baru ini, ahli My Konco berkesempatan mengacau dodol di My Friend Corner. Saya rasa sangat berbesar hati kerana diberi penghormatan mendaftar sebagai ahli pertama dengan nombor 0001. Sebagai ahli, saya akan terus menyokong My Konco dan membabitkan diri dengan program yang bakal dianjurkan nanti. Salam Syawal Siti & Mawi Manis sungguh Siti Nurhaliza bergaya pada pagi Aidilfitri. Mawi pula kelihatan segak dan bergaya biarpun nampak agak malu-malu. Maklumlah ini pertama kali beliau menyambut Aidilfitri sebagai selebriti. Kedua-dua bintang popular ini berkongsi cerita Syawal dengan pembaca Hip MASIH terbayang di ingatan Siti Nurhaliza Tarudin saat menyambut lebaran di Makkah, tiga tahun lalu. Mungkin tidak seindah Aidilfitri di negara sendiri, namun tetap punya keistimewaannya. Sembilan hari sepanjang Ramadan lalu, penyanyi nombor satu negara itu mengabdikan diri di Makkah. Hanya pada 25 Oktober, Siti kembali ke tanah air untuk membuat persediaan menanti kedatangan Aidilfitri. Memang awalnya tersimpan niat di hati menyambut 1 Syawal bersama umat Islam lain di Tanah Suci. Namun, impian murni itu tidak tercapai lantaran Siti masih perlu memenuhi komitmen yang sudah dipersetujui awal. Merenung raut wajahnya yang tenang, terdetik di hati betapa ketenangan setia memeluk dirinya sekembali dari mengerjakan umrah. Sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci, hatinya rawan diasak gosip tidak berkesudahan. “Alhamdulillah, Siti dapat menyempurnakan ibadat tanpa sebarang halangan. Semuanya berjalan lancar dan sempurna. Gembira hati Siti apabila diberi Tuhan kesempatan mencium Hajar al-Aswad. “Kenangan mengerjakan umrah kali ini terlalu manis,” imbas Siti, senyuman manis sentiasa mengiringi tatkala pertemuan bersama Hip, tiga hari selepas kembali dari Makkah. Tiga tahun lalu, ketika pertama kali mengerjakan ibadah itu, Siti ditemani ibunya, Siti Salmah Bachik dan beberapa anggota keluarganya yang lain mengambil keputusan untuk meraikan Aidilfitri di sana. Suasana 1 Syawal di sana walaupun tidak semeriah di negara sendiri, tetap menyimpan kenangan yang indah di hati penyanyi bersuara emas ini. Gema alunan takbir yang syahdu dilaungkan begitu menusuk hati. “Siti bersyukur kerana dipilih melalui pengalaman indah itu. Aidilfitri di Makkah sedikit berbeza, tetapi tetap ada keseronokannya. Aidilfitri di Tanah Suci tidak semeriah di negara sendiri. “Selepas solat sunat Aidilfitri, suasana mulai sunyi. Ketika itu, hati Siti mula digamit rindu. Teringat ayah yang tidak dapat bersama kami saat itu. Namun, Siti kuatkan hati kerana Siti ke sana untuk beribadah. Kesedihan itu, bagaimanapun terubat apabila dapat meraikannya bersama jemaah tempatan yang lain. Melihat emak di sisi memberi ketenangan yang tidak terhitung nilainya,” katanya. Mawi cadang rumah terbuka tiga raya Oleh Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Mohd Sallehuddin MAWI: Bakal kongsi kegembiraan lebaran bersama peminat. Persiapan bagi mengadakan rumah terbuka khas buat peminat akan diadakan di Astaka Padang Awam Felda Taib Andak itu diserahkan kepada ahli keluarga dan rakan rapatnya SUASANA dan sambutan Aidilfitri kali ini pastinya berbeza sejak dirinya mula dikenali serta pergerakan yang sering menjadi perhatian. Jika tahun-tahun sebelumnya, kemeriahan Syawal hanya dikongsi bersama sanak-saudara dan sahabat handai. Kini Mawi perlu akur dengan fenomena tsumawi yang masih tidak henti-henti melanda. Jauh sekali perbezaan hidup anak jati Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini. Dia sedar peminat terlalu bererti buat dirinya, tanpa sokongan peminat yang rela menghabiskan wang ringgit mungkin nasibnya tidak akan sebaik kini yang dilamar pelbagai syarikat gergasi menjadi duta produk. Lantaran menyedari dirinya milik masyarakat, Mawi akan meraikan lebaran bersama peminat bagi berkongsi kegembiraan juga lambang terima kasih buat peminat tercinta. Selain itu majlis yang dijadualkan berlangsung pada hari raya ketiga itu diadakan sebagai mengubati kekecewaan peminat ketika kepulangannya lewat Ogos lalu yang hanya dapat meluangkan masa selama 15 minit saja. Persiapan bagi mengadakan rumah terbuka khas buat peminat akan diadakan di Astaka Padang Awam Felda Taib Andak itu diserahkan kepada ahli keluarga dan rakan rapatnya di kampung untuk menguruskannya kerana dia sendiri tidak mampu melakukan gara-gara jadual tugas yang terlalu ketat. Jauh di benak hati Mawi sebenarnya tersimpan keinginan untuk bersama-sama jiran sekampung bergotong-royong menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada peminat yang datang. Dia terlalu merindui saat bekerjasama dan gurau sendanya bersama rakan-rakan sekampung. Apakan daya tugas adalah keutamaannya kini. Mawi pulang ke kampung halamannya Selasa lalu dan dijangka menghabiskan masa di kampung selama lima hari. Sebagai anak seni yang sering sibuk, cuti selama seminggu yang diberikan pihak pengurusannya sudah memadai. Tika ditanya, tidakkah dia berasa terganggu dengan kunjungan peminat yang pastinya tidak henti-henti akan menyerbu rumahnya nanti, Mawi tanpa berselindung berbesar hati dengan kunjungan mereka. “Saya sudah bersedia menerima kunjung peminat malah sudah mengagak rumah kecil kami sekeluarga akan diserbu. Biarpun majlis rumah terbuka diadakan di padang, saya tidak kisah jika ada peminat yang datang berkunjung ke rumah. “Mereka tetamu saya, siapa saja yang datang akan saya layan sebaiknya. Apa yang ada akan saya hidangkan. Saya ingin meminta maaf terlebih dulu kepada peminat sekiranya saya tidak terlayan mereka pada rumah terbuka itu nanti,” katanya. Marhaban pagi raya MENJADI rutin setiap tahun, setelah selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri Mawi bersama penduduk kampung akan bermarhaban dari rumah ke rumah. Setiap tahun hampir 30 rumah akan dikunjungi mereka. Aktiviti itu mungkin tidak dapat dilakukannya lagi tahun ini, namun jika ada permintaan penduduk kampung Mawi akan cuba melakukannya. Bercerita mengenai persiapan raya pula, meskipun rezekinya amat murah tahun ini Mawi tetap mengamalkan sikap bersederhana. Apatah lagi baju raya tahun ini tidak perlu dibelinya, dia hanya akan memakai baju pemberian peminat. “Tahun ini saya tidak perlu susah-susah membeli baju raya kerana dihadiahkan peminat. Macam-macam baju yang saya terima ada yang sudah siap berjahit, ada baju Melayu Johor dan Teluk Belanga. “Malah ibu bapa saya juga tidak ketinggalan turut menerima banyak pakaian yang boleh dipakai pada hari raya nanti. Untuk persiapan seperti kuih raya dan langsir rumah saya hanya serahkan duit kepada kakak untuk uruskan segala-galanya,” katanya. Pakaian Mawi: Amin Jauhary Aksesori: Habib Jewels |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |