|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Sunday, October 02, 2005
Mawi sudah pandai bergurau Credit to: HM
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN shakilawati@hmetro.com.my “AKU bukan idola, aku bukan ikon, aku bukan bintang, aku bukan semua itu...” itulah antara bait sajak diungkapkan Mawi ketika memulakan persembahan di Konsert Amal Tautan Kasih 2005, di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan yang dihadiri kira-kira 40,000 penonton, malam kelmarin. Menerusi sajak itu, Mawi seakan-akan cuba menyampaikan pesanan kepada peminatnya supaya tidak keterlaluan menyanjungnya. Sikap rendah diri anak muda itu menyentuh hati sebahagian besar penonton. Bagi menghormati konsep ditetapkan penganjur, Kerajaan Negeri Kelantan dan Hijjaz Music Entertainment, Mawi yang terkenal dengan gelaran World menyampaikan himpunan lagu berunsur nasihat yang dinyanyikannya sepanjang konsert AF3 iaitu Pergi Tak Kembali, Nourel ‘Ain dan Intifada. Dia juga tidak ketinggalan menyampaikan lagu popular ciptaan M Nasir dan Loloq, Aduh Saliha demi memenuhi permintaan peminat. Pada awal persembahan, Mawi terdiam seketika kerana emosinya tersentuh sebaik melihat sokongan padu peminat di Kelantan. Dia melemparkan senyuman penuh makna ke arah penonton yang seakan-akan tidak percaya Mawi ada di depan mata mereka. Aura Mawi juga berjaya merangsang penonton dari luar Kelantan, termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur, datang menyaksikan persembahannya pada malam itu. Kehadiran peminat setia dari jauh dan dekat menaikkan semangat anak muda itu. Mungkin kerana itu Mawi tegar meneruskan persembahan walaupun diserang selesema dan sakit tekak yang memaksanya mendapat rawatan pakar perunding perubatan Hospital Pakar Perdana, Doktor Ibrahim Abdullah beberapa jam sebelum konsert bermula. “Saya seronok sepanjang di sini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi mengundang saya ke sini. Terima kasih juga diucapkan kepada penduduk Kelantan yang menyokong saya sejak di AF3. “Kerana undian andalah saya berdiri di atas pentas ini. Saya berharap ini bukan persembahan terakhir saya di sini,” kata Mawi. Sedar akan fungsinya sebagai idola ramai, Mawi tidak lupa melaungkan slogan ‘Semua Benci Dadah’ sebanyak tiga kali ketika konsert berlangsung. Dia juga menyarankan masyarakat tidak memulau penagih dadah yang berhasrat pulang ke pangkal jalan. Katanya, mereka harus dibimbing dan diberi sokongan padu supaya tidak terus menjadi sampah masyarakat. Secara keseluruhannya, penonton berpuas hati dengan persembahan Mawi yang semakin bijak berkomunikasi dan bergurau di pentas. Apa saja diungkapkan Mawi sepanjang persembahan berjaya menghiburkan hati penonton, malah ada yang ketawa besar apabila Mawi berjenaka. Untuk memudahkan penonton menyaksikan persembahan Mawi, penganjur menyediakan lapan skrin besar di setiap sudut padang itu. Lebih menarik, ia disiarkan secara langsung di beberapa lokasi apabila skrin turut dipasang di bangunan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kulai, Kubang Pasu, Sungai Petani, Kulim, Terengganu dan Taman Melewar Kuala Lumpur. Ia juga boleh ditonton menerusi internet di seluruh dunia dengan melayari laman web http://kelantan.gov.my/upkn/. Satu senario luar biasa dapat dilihat apabila kira-kira 40,000 penonton bersopan ketika menonton konsert. Berbeza dengan penganjuran konsert di negeri lain, suasana cukup terkawal, tiada jeritan atau sorakan pada awal permulaan konsert. Malah, ia mungkin nampak seakan-akan hambar, namun jangan sangka konsert ini tidak berjaya kerana memang suasana seperti itu yang diharapkan penganjur. Tidak sabar Walaupun ada penonton berkampung seawal jam 7 malam di padang itu semata-mata untuk melihat Mawi dari dekat, tindakan mereka tetap terkawal apabila konsert bermula. Mereka kelihatan tidak sabar dan gembira dengan penganjuran konsert ini, namun bijak ‘menyembunyikannya’. Mungkin suasana ‘sopan’ itu disebabkan konsep pengasingan penonton wanita dan lelaki. Sebelum konsert bermula, kira-kira 5,000 penonton bersembahyang Maghrib secara berjemaah dan disusuli acara tazkirah di tapak konsert. Intro konsert menyaksikan persembahan kumpulan nasyid Sautul Quddus yang didatangkan khas daripada Pusat Pengajian Pondok Moden (Yayasan Islam Kelantan) Kandis, Bachok. Kumpulan anak muda itu menghiburkan penonton dengan nazam berirama serta lagu nasyid berjudul Kota Bharu Bandaraya Islam dan Munajat. Konsert makin sempurna apabila mengundang bekas vokalis kumpulan rock 1980-an D Riyadh, Akil Hayy yang mendendangkan lagu Selimut Putih, Seroja, Iqra’ dan Istighfar. Akil berjaya membuai emosi penonton dengan kelunakan suaranya, malah ada yang mengalirkan air mata ketika dia mengalunkan lagu Istighfar. Penonton seterusnya dihidangkan dengan himpunan lagu nasyid daripada artis syarikat rakaman Hijjaz Music Entertainment, Mestika yang mengetengahkan lagu Puteri Ku Sayang, Destinasi Cinta, Rahmat Ujian, Layar Keinsafan dan Sendu Sendawa. Pun begitu, persembahan kumpulan nasyid ini agak membosankan apabila terlalu banyak berkomunikasi dalam setiap lagu yang dipersembahkan. Bagai dijangka, apabila Mestika menamatkan persembahan, penonton yang sedia maklum Mawi akan muncul di pentas mula melaungkan nama anak jati Felda Taib Andak, Kulai itu. Mawi yang disembunyikan dalam Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu yang terletak di belakang pentas, dikawal kira-kira 100 pengawal keselamatan ketika menuju ke pentas. Suasana ketika itu kelam kabut apabila ada penonton cuba mendekati Mawi, namun kecekapan pengawal keselamatan menyelamatkan keadaan. Keadaan ini membuktikan kehadiran Mawi ke Kelantan sememangnya dinanti ramai dan jelas anak pasangan Ani Ahmad dan Ramlah Sarlan ini memang hebat auranya. Pengarah Urusan Hijjaz Music Entertainment merangkap pengarah konsert, Mohd Hashim Ngadiman, melahirkan rasa puas hati dengan persembahan Mawi yang dianggapnya paling berjaya setakat ini. “Saya terharu dengan sokongan penonton, khususnya penduduk Kelantan, malah konsert ini boleh dilabelkan sebagai paling berjaya di negeri ini dengan kehadiran lebih 40,000 penonton,” katanya. Hashim berkata, seramai 400 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dari Kelantan dan Terengganu, 631 polis dan 100 anggota unit amal Kota Bharu bertugas pada malam itu bagi memastikan keselamatan penonton sepanjang persembahan. |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |