|
Kalau saya jatuh, tolong bangunkan saya. Kalau saya mati, tolong kuburkan saya" :: World Inspirations :: Monday, September 25, 2006
DUNIA MAWI (METRO AHAD - 24 SEPTEMBER 2006)
Dunia Mawi: Puasa tanpa abah
RAMADAN kini menjelma. Selamat mengerjakan ibadat puasa diucapkan kepada umat Islam walau di mana saja anda berada. Sesungguhnya, kemunculan bulan penuh syafaat ini sungguh bermakna buat kita. Inilah masanya kita menguji sejauh mana ketaatan terhadap suruhan Ilahi dalam menahan nafsu lapar, dahaga serta tidak melakukan perkara ditegah agama. Puasa juga mengajar kita menghargai segala rahmat yang diberikan Allah. Dalam masa sama ia menyedarkan kita bagaimana penderitaan yang ditanggung segelintir manusia yang terpaksa berlapar kerana kedaifan, bencana alam sekitar atau peperangan. Diharap kalian memanfaatkan bulan berkat ini dengan amalan mulia termasuk memperbanyakkan bacaan al-Quran dan menunaikan solat tarawih. Sama seperti tahun lalu, jadual saya sepanjang Ramadan ini cukup padat. Selain memenuhi undangan persembahan, boleh dikatakan setiap hari ada saja majlis berbuka puasa yang perlu dihadiri. Bulan ini juga saya sibuk dengan rakaman album terbaru, Idola Yang Tercinta. Album istimewa ini menghimpunkan lagu baru dan lagu lama yang dinyanyikan semula, di mana saya akan berduet dengan penyanyi kegemaran saya seperti Jamal Abdillah, M Nasir, Ramli Sarip, Jay Jay, Ogy Ahmad Daud serta Datin Siti Nurhaliza. Selain itu, saya peruntukkan juga sedikit masa mempromosikan produk Mawi World Sdn Bhd seperti air mineral, kad raya, sampul raya, kemeja-T dan topi. Tahun ini melakar pengalaman baru dalam lipatan hidup saya apabila buat pertama kalinya berpuasa tanpa abah. Terasa sayu yang teramat sangat. Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini, tetapi yang pasti kehilangan abah sangat dirasai. Masih segar di ingatan, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, saya selalu menemani abah membeli juadah berbuka puasa. Kami bergilir-gilir membawa motosikal. Biasanya kami beli murtabak dan kuih-muih. Paling tidak dilupakan, apabila bersahur emak akan mengejutkan anak sementara abah menanti dengan tenang di depan hidangan yang disaji. Kenangan manis itu tidak mungkin berulang lagi kerana abah sudah pergi buat selama-lamanya. Kemungkinan Ramadan kali ini saya tidak berpeluang berbuka puasa dengan keluarga di kampung kerana jadual terlalu padat. Bagaimanapun besar harapan saya jika mereka dapat datang ke Kuala Lumpur kerana hanya dengan cara itu kami dapat berkumpul untuk berbuka dan bersahur bersama-sama. Selasa lalu, Mawi World Sdn Bhd berpindah ke pejabat baru di Taman Desa. Pejabat ini lebih praktikal kerana ruangnya luas. Sehari suntuk saya dan warga kerja Mawi World bergotong-royong membersihkan pejabat baru ini. Walaupun penat, kami puas. Kerja ubah suai masih dilakukan dan insya-Allah akan siap sepenuhnya pertengahan Ramadan ini. Bagaimanapun, urus niaga tetap berjalan seperti biasa, sesiapa yang mahu berurusan dengan Mawi World bolehlah datang ke pejabat baru ini. Alhamdulillah, berkat kerja keras selama ini akhirnya saya ada pejabat sendiri. Hari pertama menghabiskan masa di pejabat ini saya rasa seperti bermimpi. Tidak sangka, kini saya ada pejabat dan perniagaan sendiri. Dengan adanya pejabat baru ini, langkah saya untuk meluaskan perniagaan makin serius. Saya perlu bekerja lebih keras demi memastikan kejayaan terus mengiringi Mawi World. Semua ini saya lakukan demi kebaikan masa depan. Selagi hayat masih ada, saya akan terus bermimpi dan berusaha menjadikannya realiti. Saya percaya, kejayaan tidak datang bergolek dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Berkat kesabaran, usaha, doa yang diiringi tawakal, insya-Allah apa yang kita mahu akan ada dalam genggaman. Sekian, wassalam. |
Kata Anda
Kata Mawi
Previous Posts
Archives
Links
AF3
Bintang AF
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
© Hak Cipta Terpelihara - 2005 - 2006 World Inspirations |
::NICE::rar:: |